PETALING JAYA: Dua warga Thailand yang disyaki melepaskan tembakan ke arah pos kawalan pasukan keselamatan di sempadan negara di Padang Besar, Perlis ditahan polis, Jumaat lalu.
Kedua-dua suspek berusia 21 dan 28 tahun terbabit ditahan di Songkhla, Thailand, pada Jumaat lalu hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Polis Thailand.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya mengesan kejadian melepaskan tembakan yang dipercayai berlaku pada 10.28 pagi, Khamis lalu ketika dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondakan berhampiran pos kawalan keselamatan sempadan berkenaan.
Katanya, anggota bertugas terdengar beberapa das tembakan dari arah Thailand dan melihat kelibat dua lelaki menaiki sebuah motosikal di kawasan negara jiran itu.
“Mereka kemudian segera memaklumkan kejadian kepada pasukan untuk bantuan sebelum suspek dilihat beredar.
“Kedua-dua anggota juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Razarudin berkata, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua suspek warga Thailand itu disyaki datang dari arah kebun getah dengan menaiki motosikal.
Jelasnya, suspek memberhentikan motosikal sebelum mengeluarkan senjata jenis pistol automatik dan melepaskan kira-kira 10 das tembakan ke arah Malaysia.
“Suspek kemudian dilihat mengutip kelongsong peluru sebelum beredar menggunakan laluan sama disyaki ke dalam kebun getah dan menghilangkan diri,” katanya.
Susulan itu, menurut Razarudin, pihaknya menyalurkan maklumat siasatan kepada Polis Thailand sebelum pihak berkuasa negara itu bertindak menahan kedua-dua suspek di sebuah premis di Songkhla, pada 10.40 pagi (waktu Malaysia), sehari selepas kejadian.
Jelas beliau, suspek mendakwa meminjam senjata itu daripada seorang rakan.
“Mereka mengaku melepaskan tembakan ke arah Malaysia untuk mencuba senjata berkenaan.
“Senjata itu sudah dipulangkan semula kepada rakan selepas kejadian,” katanya.
Tambahnya, Polis Thailand kini sedang giat mengesan rakan suspek yang juga pemilik senjata untuk siasatan lanjut. – UTUSAN