Dua warga China didenda kerana mencuri dalam pesawat

Dua warga China didenda kerana mencuri dalam pesawat

HE Dapeng (kiri) dan Xin Min (dua dari kanan) ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau, di Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Dua lelaki warga China masing-masing didenda sebanyak RM3,700 dan RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri wang penumpang lain dalam sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), baru-baru ini.

Tertuduh, Xin Min, 61 dan He Dapeng, 51, membuat pengakuan itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan terhadap Xin Min, dia didakwa telah mencuri wang tunai berjumlah 24,000 dolar Taiwan (TWD) dan RM200 milik Lye Khai Seng antara pukul 10.20 pagi hingga 10.30 pagi, di LTAPP pada 24 November lalu.

Bagi pertuduhan terhadap He Dapeng pula, dia dituduh telah mencuri wang berjumlah RM2,000 milik Teng Chin Wee antara pukul 8.20 pagi hingga 8.40 pagi, di lokasi yang sama pada 21 November lalu.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Md. Yusuf Md. Idris, manakala pendakwaan dikendalikan oleh R. Lushini.

Terdahulu iaitu ketika prosiding, peguam, Md. Yusuf memohon mahkamah agar mengenakan hukuman ringan berbentuk denda kepada kedua-dua anak guamnya memandangkan kes itu adalah kesalahan pertama mereka.

“Mereka telah menjimatkan masa mahkamah dan berjanji akan pulang ke China sebaik sahaja kes selesai dan mereka juga telah berada di dalam penjara selepas direman sejak November lalu. Tiada kerugian memandangkan apa yang diambil (dicuri) telah dipulangkan juga,” katanya.

Bagaimanapun, Lushini memohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dan berbentuk pengajaran kepada kedua tertuduh agar mereka tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa depan.

Majistret kemudian memerintahkan agar Xin Min dikenakan denda sebanyak RM3,700 manakala He Dapeng pula didenda RM2,000 dan jika gagal membayar denda tersebut, mereka boleh dihukum penjara selama tiga bulan.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh bagaimanapun bersetuju untuk membayar denda berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya