KOTA BHARU: Dua anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Jelawat, Bachok dekat sini, tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, Mahadi Ismail, 39, dan Aizat Hakim Mohammad, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan sama yang ketika itu berusia 10 tahun lapan bulan di Jelawat, pada waktu siang, April tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimun 10 tahun sehingga tidak lebih 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala kedua-dua tertuduh diwakili Mohd. Firdaus Zainal Abidin dan Majidah Muhamad.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan mangsa dalam kes tersebut merupakan seorang kanak-kanak bawah umur dan baru berusia 10 tahun.
Mohd. Firdaus dalam rayuannya, memohon ikat jamin memandangkan kedua-dua tertuduh yang merupakan penjawat awam memberi kerjasama baik kepada polis selain menyerah diri di Balai Polis Bachok sebelum ini.
“Salah seorang anak guam saya sudah hampir bersara wajib tahun depan selain perlu menanggung empat anak masih bersekolah. Seorang lagi anak guam baru tamat latihan dan akan melapor diri di tempat kerja esok,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 2 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN