Dua tahanan Guantanamo diserah kepada Malaysia

Dua tahanan Guantanamo diserah kepada Malaysia

NAZIR Lep dan Farik Amin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia telah menerima dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Tahanan Guantanamo Bay, Cuba sejak 2006 atas dakwaan terbabit dengan konspirasi pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002.

Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep, dijatuhi hukuman penjara 23 tahun atas pembabitan mereka dalam kejadian yang membunuh 202 orang itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penerimaan kedua-dua mereka dilakukan berlandas prinsip hak asasi manusia dan keadilan sejagat, yang menjadi asas dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan telah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif untuk kedua-dua individu berkenaan, merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan dan saringan kesihatan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam proses penyerahan kedua-dua warganegara Malaysia ini, yang berjaya diselesaikan dengan kerjasama dan kecekapan tinggi.

Tahun lalu, Saifuddin berkata, kerajaan berusaha mempercepatkan urusan membawa pulang dua rakyat Malaysia yang ditahan di Teluk Guantanamo

Perkara itu dibincangkan beliau dalam satu pertemuan bersama Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow di New York.

Media sebelum ini melaporkan, juri tentera di Teluk Guantanamo, Cuba, menjatuhi hukuman penjara tambahan lima tahun ke atas dua rakyat Malaysia kerana terlibat dalam insiden pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002

Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo sejak 2006 bersama seorang rakyat Indonesia, Encep Nurjaman yang turut dikenali sebagai Hambali.

Pejabat Suruhanjaya Tentera AS sebelum ini dilaporkan berkata, tiga suspek itu sepatutnya dihadapkan ke mahkamah itu Februari lalu, namun perbicaraan terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19.

Mohammed Nazir dan Mohammed Farik berdepan sembilan tuduhan manakala Hambali lapan pertuduhan berkaitan dengan serangan pengganas Bali pada 2002 serta serangan di Hotel JW Marriott, Jakarta pada Ogos 2003 yang membunuh 12 orang.

Pada 2003, ketiga-tiga suspek ditahan di Thailand dan dihantar ke rangkaian penjara rahsia Agensi Risikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Guantanamo, pada September 2006.

Kedua-dua mereka juga dipercayai mempunyai kaitan dengan rancangan al-Qaeda untuk menghancurkan pesawat yang dirampas di Menara Bank AS setinggi 73 tingkat yang turut dikenali sebagai Menara Perpustakaan di Los Angeles.

Hambali digambarkan sebagai ‘dalang untuk Jemaah Islamiyah’ kumpulan militan Asia Tenggara yang berkaitan dengan al-Qaeda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya