BAGAN SERAI: Dua sahabat dari sini yang berjalan kaki ke Mekah enggan menerima sumbangan wang daripada orang ramai dalam menjayakan misi mereka bagi mengelak kemungkinan berlaku fitnah.
Mohamad Al-Bukhari Ellia, 26, dan Mohamad Azizul Abdullah, 34, yang mula berjalan kaki dari kampung mereka di Changkat Lobak di sini pada Ahad lalu berkata, mereka tidak mahu memaparkan nombor akaun bank kepada umum walaupun ramai yang mahu memberi sumbangan kewangan.
Katanya, mereka berbuat demikian bagi mengelak fitnah yang boleh memberi kesan kepada mereka dan orang lain.
“Memang ada yang meminta nombor akaun bank kami untuk memberikan sumbangan. Hasrat mereka baik untuk membantu perjalanan kami.
“Namun kami tidak mahu memberikannya kepada umum. Kami khuatir jika menerima sumbangan kewangan daripada orang ramai jika ditakdirkan kami tidak dapat menunaikan haji seperti yang diharapkan, sudah tentu timbul pelbagai fitnah kepada kami,”katanya.
Sejak mula berjalan kaki, mereka tiba di Kepala Batas, Pinang semalam dan hari ini menuju ke Sungai Petani, Kedah.
Mengulas perjalanan mereka setakat ini, dua sahabat itu berkata, mereka dalam perjalanan menuju ke pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam.
Sepanjang perjalanan, mereka banyak menerima pelawaan daripada orang ramai menaiki kenderaan namun menolaknya dengan baik.
Menurutnya, mereka menolak kerana memang berniat untuk berjalan kaki hingga ke pintu sempadan negara di Bukit Kayu Hitam.
“Dengan berjalan kaki, kami meraikan orang ramai yang menanti kami di sepanjang perjalanan kami menuju ke pintu sempadan negara selain dapat menjalinkan ukhwan semasa Islam.
“Kami terharu kerana ramai yang menunggu kam di jalan yang kami lalui dan mereka mendoakan agar perjalanan kami lancar dan selamat,” katanya.
Dua sahabat itu memulakan ekspedisi berjalan kaki ke Mekah dari kampung mereka di sini paa Ahad lalu untuk menunaikan ibadah haji tahun depan.
Jarak perjalanan sejauh 10,000 kilometer dan mereka berjalan kaki 10 jam sehari.
Bagi perjalanan dalam negara, mereka berjalan kaki menggunakan Jalan Persekutuan hingga ke pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.
Mereka akan meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki hingga ke Hatyai, dan menaiki keretapi ke Bangkok seterusnya menaiki pesawat ke negara India dan selepas itu berjalan kaki dari situ hingga ke Mekah.
Idea untuk berjalan kaki ke Mekah adalah inspirasi daripada kisah sahabat-sahabat Nabi yang mengembara untuk berdakwah. – UTUSAN