Dua remaja maut kemalangan baru tamat tingkatan enam

Dua remaja maut kemalangan baru tamat tingkatan enam

PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua remaja yang maut dalam kemalangan di Jalan Lencong Barat, di sini disahkan sebagai pelajar Sekolah Menengah Keat Hwa yang baru menamatkan pengajian di tingkatan enam.

Pengetuanya, Chang Teresa berkata, pemergian dua pelajar lelaki berusia 18 tahun itu amat menyedihkan mereka kerana ianya berlaku secara tiba-tiba.

“Pemergian mereka adalah satu kehilangan yang sangat besar kepada keluarga mereka, malah amat memilukan bagi pihak sekolah. Bagi pihak komuniti sekolah, saya ingin mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga masing-masing.

“Mereka baru sahaja tamat pengajian minggu lalu dan sedang bersedia untuk melangkah ke fasa selanjutnya dalam hidup dan saya ingin meminta semua guru, ibu bapa serta pelajar untuk tidak menyebarkan sebarang video berkaitan kemalangan itu,” katanya di sini, hari ini.

Teresa berkata, pihak sekolah juga telah mengaktifkan perkhidmatan kaunseling sekiranya ada pelajar atau ibu bapa yang memerlukan sokongan emosi selain akan memperkukuh pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar.

“Mengenai tiga mangsa yang cedera, pihak sekolah juga akan terus memantau kesihatan mereka dengan teliti dan memberikan sebarang bantuan yang diperlukan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Raja Asmah Raja Jaafar, 42, berkata, dia menyaksikan kereta Mercedes Benz dinaiki lima pelajar terbabit melambung dan berpusing lebih tiga kali ketika berada di tempat kejadian

“Semasa kejadian saya sedang berniaga di restoran berhampiran lokasi kemalangan. Saya hanya mampu jerit dan laung Subhanallah, Allahuakbar kerana terlalu terkejut. Kereta itu kemudian berhenti di atas pembahagi jalan dan saya tergamam apabila melihat ada satu mangsa di atas bumbung kereta dan beberapa lagi bergelimpangan di jalan raya,” katanya.

Dakwanya, kawasan itu kerap berlaku kemalangan kerana kebanyakan kenderaan dipandu laju dan gagal mengelak kenderaan lain yang membuat pusingan U.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Mercedes Benz dari arah Tol Alor Setar Selatan menghala ke Masjid Aman berlanggar dengan Hyundai Matrix yang sedang membuat pusingan U. 

“Kereta itu dikatakan berpusing beberapa kali sejauh kira-kira 35 meter dan mengakibatkan pemandu dan penumpang belakang maut di tempat kejadian. Tiga lagi penumpang kereta sama yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut. Dua daripadanya dirawat di zon merah, manakala seorang di zon kuning,” katanya.

Katanya, pemandu Hyundai Matrix iaitu seorang lelaki berusia 74 tahun yang turut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan kanan dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 047321222 atau 0139964614. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya