JASIN: Dua penuntut wanita Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut, manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 186.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran Jasin di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.24 pagi itu, mangsa, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan masing-masing berusia 19 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Sementara itu, dua lagi rakan mereka, Nur Hanis Suraya Supiyan, 20, dan Azwalidiya Azman, 21, mengalami luka dan cedera pada kaki.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian kereta jenis Perodua Myvi dipandu Nur Hanis Suraya dalam perjalanan dari Johor ke Melaka.
“Setibanya di lokasi kereta dinaiki empat penuntut UTeM dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri. Kedua-dua penumpang di sebelah kiri kenderaan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi,” katanya kepada pemberita.-UTUSAN