Dua penjenayah mati berbalas tembakan dengan polis - Utusan Malaysia

Dua penjenayah mati berbalas tembakan dengan polis

KERETA dinaiki dua penjenayah yang mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Dua penjenayah yang aktif melakukan samun bersenjata sekitar daerah Muallim mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di susur keluar Jalan Proton City-Tanjung Malim di sini hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, dalam kejadian pada pukul 5.20 pagi, dua penjenayah masing-masing berusia 37 tahun dan 29 tahun itu maut di tempat kejadian .

Menurutnya, kejadian berlaku selepas polis mengesan dua suspek yang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam keadaan mencurigakan ketika pasukan itu menjalankan rondaan cegah jenayah Op Casa Muallim.

Beliau berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu bertindak mengejar kereta suspek sejauh empat kilometer sebelum terbabas.

“Suspek pertama kemudian bertindak melepaskan dua das tembakan dan mengenai kenderaan polis di hadapan.

“Suspek kedua yang juga penumpang hadapan turut keluar dengan memegang sebilah parang panjang bertindak menyerang anggota polis menyebabkan pasukan melepaskan tiga das tembakan dalam usaha mempertahankan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan sepucuk pistol Sig Seuer, dua butir peluru 9mm dalam kelopak dan chamber, dua parang, dua sarung muka dan sarung tangan, dua plat nombor pendaftaran kenderaan, enam kelongsong peluru serta pemotong besi.

Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati nombor pendaftaran kereta yang digunakan suspek adalah palsu.

“Kedua-dua suspek merupakan penjenayah dikehendaki polis apabila aktif melakukan 20 kes samun berkumpulan dan 10 kes pecah rumah di daerah Tanjung Malim, Behrang dan Slim River sejak awal tahun 2023.

“Suspek sering menimbulkan ketakutan kepada mangsa dengan mengeluarkan kata-kata amaran dan ugutan seperti ‘call (hubungi) polis, aku tak takut diorang bukan boleh tangkap aku’ dan ‘Jangan report (lapor) polis, kalau report kami akan datang cari di tempat kerja kamu’.

“Kami memandang berat ancaman ini dan orang ramai dinasihatkan supaya jangan takut, kami akan kejar serta mengambil tindakan sewajarnya termasuk tiga dalang masih bebas,” katanya

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya