ALOR SETAR: Dua terbunuh manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan jenis Mercedes Benz dan Hyundai Matrix berdekatan pusingan U di Jalan Lencongan Barat, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, seorang lelaki maut di lokasi kejadian dengan mayat mangsa masih berada di atas bumbung Mercedes Benz.
Seorang lagi mangsa wanita berada di atas jalan selepas dipercayai tercampak keluar dari kenderaan.
Dua lagi mangsa lelaki mengalami kecederaan parah, sementara pemandu Hyundai Matrix difahamkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Pegawai Bomba Kanan II Salim Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 8.53 malam.
“Sebaik tiba di lokasi kita mendapati kemalangan melibatkan kenderaan jenis Mercedes dan Hyundai. Terdapat empat mangsa dengan dua daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Dua mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan ambulans KKM,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN