BUTTERWORTH : Dua lelaki mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata terhadap seorang kerani sebuah syarikat eksport, minggu lepas.
Tertuduh, K. Sreedharan Naidu dan J. Moohilan Naidu, kedua-duanya berusia 33 tahun membuat pengakuan itu ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta seorang lelaki berusia 57 tahun dengan merompak sebuah kereta jenis Honda Accord serta wang tunai berjumlah RM54,000 dengan mengacukan parang.
Kesalahan itu dilakukan di persimpangan Taman Bukit Kecil, dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 6 Disember lalu.
Atas kesalahan tersebut, kedua-dua tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Pendakwaan dilakukan Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam, S. Morgan.
Mahkamah kemudiannya bersetuju membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 seorang masing-masing dengan seorang penjamin.
Pada masa yang sama, mahkamah turut menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.-UTUSAN