KUALA LUMPUR : Seorang pengawal peribadi dan rakannya ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Usahawan Kepong, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima aduan melalui panggilan telefon daripada seorang wanita warga Indonesia kira-kira pukul 11 malam.
Katanya, mangsa berusia 40 tahun itu memaklumkan terdapat dua individu memperkenalkan diri sebagai anggota polis untuk melakukan pemeriksaan di rumahnya.
“Pengadu curiga dengan tindakan kedua-dua suspek dan segera menghubungi Balai Polis Kepong untuk mendapatkan bantuan.
“Bagaimanapun, suspek bertindak merampas telefon bimbit milik mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Sukarno memaklumkan sepasukan polis bertindak menyerbu lokasi kejadian dan menahan kedua-dua suspek berusia 42 dan 55 tahun.
Jelasnya, ketika kejadian, suspek tidak memakai pakaian seragam polis dan hanya memperkenalkan diri sebagai anggota secara lisan.
“Pemeriksaan mendapati seorang suspek didapati bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala seorang lagi tidak bekerja
“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis CZ 75, 10 butir peluru, sekeping kad lesen senjata api milik syarikat kawalan keselamatan serta dua telefon bimbit yang diambil daripada mangsa,” katanya.
Menurutnya, siasatan mendapati pistol berkenaan milik syarikat kawalan keselamatan dan dipercayai digunakan suspek untuk tujuan pemerasan.
“Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata api dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,”katanya
Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
“Kita percaya ini merupakan kali pertama suspek melakukan jenayah ini dan motif kejadian dipercayai disebabkan masalah kewangan,” katanya. – UTUSAN