BALIK PULAU : Dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki hanyut dalam satu kejadian di kawasan perairan Keracut, Kuala Sungai Pinang di sini, malam kelmarin masih belum dijumpai sehingga kini.
Menurut seorang nelayan, Bidin Rosli, 34, dia ada berjumpa dengan kedua-dua lelaki terbabit selepas selesai melabuh pukat di tengah perairan di situ pada pukul 7.15 malam.
Katanya, ketika itu, kedua-dua mereka iaitu Nor Hasrul Abdullah, 25, dan Muhamad Ikmal Hakimi Ismail, 22, juga sedang melakukan perkara yang sama tidak jauh dari situ.
“Mereka ada maklumkan kepada saya bahawa bot yang mereka naiki ada masalah. Masa itu, angin kuat dan air laut juga berkocak dengan kuat.
“Saya berikan sauh kepada mereka dan cuba menghubungi rakan lain untuk dapatkan bantuan kerana bekalan minyak yang saya bawa cukup-cukup sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.
Jelas Bidin, itu kali terakhir dia bercakap dengan mereka sebelum kedua-dua mangsa hilang bersama bot yang dikatakan hanyut selepas dimasuki air itu.
Tambahnya, meskipun Nor Hasrul dan Muhamad Ikmal Hakimi yang juga bekerja sebagai nelayan itu telah hilang hampir 48 jam di lautan ketika ini, dia berkeyakinan bahawa kedua-dua mereka masih selamat.
“Operasi pencarian masih diteruskan dan petang ini, kami, seramai 20 nelayan akan turut-serta dalam operasi (bersama pasukan mencari dan menyelamat) dengan menggunakan empat buah bot,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu dan mangsa dipercayai menaiki bot berwarna biru dan merah yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk menghubungi Bilik Gerakan Polis Barat Daya di talian 04-8664122 atau tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.-UTUSAN