RANTAU PANJANG: Dua lelaki ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara kerana disyaki memiliki dua senjata api, peluru hidup dan dadah ketika serbuan di sebuah pondok di Kampung Degong Rantau Panjang, di sini semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggota melakukan serbuan kira-kira pukul 7 pagi di lokasi tersebut dalam Op Taring Wawasan Kelantan.
Katanya, sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota, dua lelaki berusia 19 tahun dan 32 tahun bertindak melarikan diri.
“Tindakan pantas anggota berjaya memberkas dua lelaki tersebut. Pemeriksaan lanjut menemukan dua senjata api jenis rifle/Carbine dan jenis pump gun, 124 butir peluru hidup, 76 gram dadah jenis ganja, 27 biji pil yaba dan 6.2 gram dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata dua lelaki tersebut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
“Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kedua suspek positif dadah jenis Meth,” katanya. – UTUSAN