PETALING JAYA: Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dipercayai terlibat dalam kegiatan teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 Sepang ditahan polis, baru-baru ini.
Penahanan itu dilakukan sepasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerusi Op Khas Teksi Haram pada Khamis lalu.
Ketika ditahan, lelaki tersebut enggan memberikan kerjasama dan memecut laju kenderaannya sebelum ditahan semula tidak jauh dari lokasi kejadian.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi bermula pukul 12 tengah hari itu menyasarkan individu yang menjalankan kegiatan teksi secara haram.
Katanya, pasukan operasi telah mengesan seorang lelaki tempatan yang menawarkan perkhidmatan kenderaan sewa kepada lima pelancong asing.
“Kesemua warga asing itu kemudian dibawa keluar daripada kawasan ketibaan ke kenderaan Hyundai Starex yang dipandu lelaki tempatan.
“Susulan itu, pemandu Hyundai Starex itu telah ditahan di Lebuhraya Extension KLIA pada pukul 2 petang.
“Pemandu terbabit telah turun dari kenderaannya sebelum mempertikai tindakan pihak polis selain enggan beri kerjasama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini
Beliau berkata, suspek kemudian bertindak memandu kenderaannya sebelum ditahan semula di Kilometer 8.5 Lebuhraya Extension KLIA dekat sini.
Jelasnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Susulan penahanan itu, seorang lagi lelaki turut ditahan di pekarangan balai ketibaan KLIA yang disyaki memainkan peranan memujuk dan mendesak pelancong bagi mendapatkan khidmat kenderaan sewa haram.
“Kedua-dua suspek berusia 35 dan 49 tahun telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah KLIA,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. – UTUSAN