LUMUT: Dua beranak maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 212.3, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah Selatan di sini hari ini.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai Nor Fadhilah Mohd. Azlan berusia 24 tahun dan anak lelakinya berusia dua tahun.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Wira dan Perodua Kelisa itu diterima pada pukul 5.15 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya anggota di lokasi, didapati terdapat enam mangsa yang kesemuanya tidak tersepit telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat orang mangsa lagi mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat dua beranak itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala empat yang cedera dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut. – UTUSAN