BUKIT MERTAJAM : Dua bayi lelaki yang menghidap penyakit jantung berlubang memerlukan bantuan berbentuk dana daripada orang ramai sebanyak RM125,000 bagi menjalani pembedahan segera.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya menerima permohonan bantuan untuk Aniq Ziqri Abdul Azim, satu tahun, dan Muhammad Asyraf Azriel Azman, empat bulan, kerana mereka berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
Katanya, pembedahan untuk Aniq Ziqri dijadual pada 8 Januari depan manakala Muhammad Asyraf Azriel pula telah menjalankan pembedahan semalam.
Sui Hau berkata, pesakit pertama, Aniq Ziqri yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur menghidap penyakit jantung kongenital sejak lahir yang dikesan semasa dia masih berada di dalam kandungan.
“Dia (Aniq Ziqri) bergantung kepada ubat, namun, apabila semakin membesar dan tahap aktiviti meningkat, jantungnya tidak dapat lagi menanggung beban sehingga mudah sesak nafas.
“Doktor mendapati lubang di jantung bayi itu juga semakin teruk dan saluran darah menuju ke paru-paru tersumbat yang boleh menyebabkan kematian mengejut akibat kekurangan oksigen,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sui Hau berkata, seorang lagi pesakit, Muhammad Asyraf Azriel, yang berasal dari Alor Setar, Kedah telah berjaya menjalani pembedahan sebelum ini, namun, berdepan komplikasi apabila mengalami jangkitan kuman.
“Sebulan selepas dibenarkan pulang ke rumah sejurus pembedahan, bayi itu mengalami sesak nafas. Jangkitan kuman yang menyebabkan kelumpuhan diafragma kiri tertunda telah memburukkan lagi radang paru-paru,” katanya yang memberitahu, bayi tersebut telah ditempatkan di hospital sejak lebih sebulan yang lalu.
Tambah Sui Hau, kedua-dua pesakit ketika ini amat memerlukan bantuan orang ramai kerana semakan pihaknya mendapati, keluarga mereka tidak berkemampuan bagi membiayai sendiri kos rawatan berkenaan.
“Ibu bapa mereka masing-masing hanya berniaga nasi lemak dan kuih-muih bagi menampung hidup.
Jadi, kami berbesar hati untuk membantu mengumpul dana RM125,000 bagi memastikan pembedahan jantung Aniq Ziqri dan Muhammad Asyraf Azriel dapat dilaksanakan,” katanya.
Jelas Sui Hau, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau melayari laman sesawang onehopecharity.org.
Ujarnya, bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, mereka juga boleh menghubungi talian hotline, 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192. – UTUSAN