PUTRAJAYA: Dr. Raja Subramaniam dilantik sebagai Pakar dalam Scientific Advisory Board (SAB) bagi Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) bermula esok hingga 31 Disember 2027.
Wisma Putra memaklumkan, Dr. Raja memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Analisis Senjata Kimia daripada National Swedish Chemical, Biological, Radioactive and Nuclear (CBRN) Defence Research.
Beliau juga mempunyai lebih 23 tahun kepakaran khusus dalam hal yang berkaitan dengan senjata kimia dan merupakan seorang daripada tujuh pakar dari rantau Asia dalam SAB.
“Beliau kini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia (PBKKSK) di Kementerian Luar Negeri (KLN) untuk penggal yang kedua.
“SAB terdiri daripada 25 orang pakar dalam kalangan Negara Anggota OPCW, yang berkhidmat atas kapasiti peribadi dalam memberikan nasihat khusus kepada Ketua Pengarah OPCW yang berpusat di The Hague.
“Ia adalah mengenai perkembangan saintifik dan teknologi yang berkaitan dengan pelaksanaan Konvensyen Senjata Kimia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya.
SAB bersidang setahun sekali atau mengikut keperluan seperti yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah OPCW.
“KLN merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah OPCW dan masyarakat antarabangsa atas kepercayaan mereka terhadap komitmen Malaysia dalam usaha-usaha global ke arah penghapusan senjata kimia,” ujarnya. – UTUSAN