JOHOR BAHRU: Seorang wanita hidup dalam ketakutan apabila bukan sahaja diugut tetapi hampir diculik seorang lelaki ‘gila bayang’ kepadanya selepas mereka berkomunikasi melibatkan satu urusan pengiklanan, sebelum ini.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Won, 34, memberitahu, dia mengenali lelaki berusia 35 tahun itu sejak dua tahun lalu, namun hanya berurusan melalui media sosial dan WhatsApp sepanjang perkenalan.
Katanya, lelaki tersebut merupakan seorang ahli perniagaan dan terlibat dalam beberapa perniagaan termasuklah kedai bunga dan sarang burung.
“Sebelum ini, perbualan kami hanya melibatkan hal-hal kerja namun baru-baru ini, dia mendakwa saya merupakan kekasihnya dan telah menggunakan kata-kata kesat termasuk memanggil saya pelacur kerana enggan melayan cintanya.
“Kemudian dia mendakwa saya telah mencuri telefon bimbit miliknya sedangkan telefon tersebut diberikan untuk menjaga akaun media sosial perniagaannya. Apabila dia membuat dakwaan itu, saya terus memulangkan telefon berkenaan.
“Keadaan menjadi lebih serius pada Selasa lalu apabila dia mengekori dan menunggu saya selama dua jam sebelum tiba-tiba menarik tangan dan cuba mengheret saya untuk dibawa masuk ke dalam keretanya,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Kelab Akhbar Cina Selatan, di sini hari ini.
Tambah pegawai pemasaran digital itu, dia terpaksa melawan dan menjerit agar tidak diculik lelaki itu sebelum dibantu orang awam yang berada di kawasan berhampiran.
“Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan lebam dan luka di bahagian siku serta kedua-dua lutut. Saya juga bimbang akan keselamatan diri dan keluarga, kerana saya tinggal berdua bersama ibu yang berusia 59 tahun.
“Sejak kejadian itu, saya rasa takut dan tidak selamat untuk kemana-mana sehingga terpaksa mengajak rakan untuk menguruskan urusan harian khususnya melibatkan hal kerja,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.
Sehubungan itu, Won telah membuat dua laporan polis pada 1 November dan 24 Disember lalu masing-masing di Balai Polis Setia Indah, di sini.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Lim Thow Siang berkata, pihaknya akan membantu mangsa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga daripada gangguan lelaki berkenaan.
“Selain itu, kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang menjadi mangsa penipuan atau keganasan untuk tampil bersuara dan jangan terus mendiam diri sehingga menjejakkan keselamatan,” katanya. – UTUSAN