BUTTERWORTH : Seorang lelaki cacat penglihatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan sengaja mencederakan mata kirinya semata-mata untuk mendapatkan tuntutan insurans berjumlah RM1 juta pada Jun 2023.
Tertuduh, Tan Kok Guan, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh seorang jurubahasa di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah cuba melakukan satu permohonan tuntutan kemalangan insurans yang disyaki palsu dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mata kiri untuk mendapatkan pampasan berjumlah RM1 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya antara pukul 9 pagi hingga 6 petang di Kampung Gajah, Butterworth dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada 8 Jun 2023.
Bagi pertuduhan kedua pula, penganggur anak tiga itu didakwa memperdaya syarikat insurans untuk membuat tuntutan palsu sehingga mendorong syarikat berkenaan memasukkan wang tunai sebanyak RM4,153.57 ke dalam akaun Maybank miliknya.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu juga antara pukul 9 pagi hingga 6 petang di Jalan Kampung Gajah, Kampung Paya, Butterworth pada 20 Julai tahun yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta dikenakan sebatan selain boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin manakala tertuduh diwakili peguam, Yaw Xinying.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen kes.-UTUSAN