PETALING JAYA: Seorang daripada dua tahanan Malaysia yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo di bawah kendalian Amerika Syarikat (AS) memperincikan penyeksaan kejam dialaminya sewaktu sesi soal siasat oleh ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Melalui dokumen setebal 96 halaman yang didedahkan kepada umum, Mohammed Farik Amin menggambarkan melalui beberapa lakaran bagaimana penderaan itu berlaku sepanjang lima tahun terakhir tempoh penahanannya di sana.
Lakaran-lakaran berkenaan dibentangkan di mahkamah tentera AS sewaktu perbicaraan kesnya bersama rakan senegara, Mohammed Nazir Lep pada Januari lalu atas nasihat peguamnya, Christine Funk.
Antara lakaran yang ditunjukkan termasuk gambaran tangannya digari di belakang badan sambil mencangkung dengan sebatang penyapu diletakkan di belakang lututnya.
Lakaran lain menunjukkan Mohammed Farik melindungi alat sulitnya menggunakan tangan, manakala satu lagi gambaran dirinya digari dengan tangan diangkat ke atas kepala sambil dibiarkan tidak tidur.
Selain itu, Mohammed Farik turut melukis dirinya dalam keadaan bogel, dicukur dari kepala ke kaki dan terpaksa mengimbangi berat badan daripada satu kaki ke kaki lain untuk mengurangkan kesakitan.
Lakaran lain juga memaparkan empat pengawal yang sebahagian daripada mereka memakai penutup muka dan memegang anggota badannya ke lantai, manakala seorang ejen CIA duduk di atas badannya serta menuangkan air ke muka serta tubuhnya.
PENGAKUAN BERSALAH
Dokumen yang didedahkan kepada umum itu dikemukakan sebagai sebahagian daripada rayuan untuk meringankan hukuman mereka.
Menurut undang-undang mahkamah tentera, juri boleh mempertimbangkan ‘sifat dan tempoh penahanan sebelum perbicaraan’ dalam menentukan hukuman atau mengesyorkan belas kasihan.
Mohammed Farik, 49 dan Mohammed Nazir, 48, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 23 tahun pada Januari lalu atas tindakan mereka dalam pengeboman di Bali, Indonesia pada 2002 yang meragut 202 nyawa.
Mereka mengaku bersalah susulan perjanjian pra-perbicaraan dengan pihak pendakwaan yang membolehkan mereka dihantar ke negara ketiga dan dibebaskan selepas lima tahun.
Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mengaku bersubahat dengan Encep Nurjaman dari Indonesia atau Hambali, yang didakwa sebagai dalang utama pengeboman itu.
Malah, mereka juga dijangka memberikan keterangan yang akan digunakan dalam perbicaraan Hambali bermula Mac tahun depan.
Menurut dokumen itu, kedua-dua tahanan terbabit memberitahu mahkamah mengenai kaedah tidak berperikemanusiaan yang digunakan oleh ejen CIA semasa mereka ditahan secara bersendirian di sebuah penjara rahsia di Afghanistan selama tiga setengah tahun selepas ditangkap di Thailand pada 2003.
Mohammed Farik berkata, dia juga tidak dibenarkan mandi atau menggosok gigi selama beberapa bulan.
“Saya ditahan dalam keadaan bogel dan bergari serta kaki dirantai ke lantai berbulan-bulan. Saya tidak dapat bergerak dalam sel tahanan dan terpaksa membuang air di tempat saya ditahan.
“Satu-satunya bunyi yang saya dengar adalah bunyi penyeksaan yang bising berterusan selama 24 jam seminggu. Saya juga sering mengalami mimpi buruk kesan daripada apa yang dilalui,” katanya menerusi dokumen tersebut.
Mohammed Farik turut mendedahkan dia dipukul, dimalukan sepanjang tempoh itu dan mengalami kesakitan teruk.
Seorang ejen juga didakwa menepis tangannya setiap kali dia cuba menutup alat sulitnya.
Sementara itu, Pakar psikiatri, Hawthorne E Smith, menerusi laporan berkaitan Mohammed Farik menyatakan, pandangan lelaki itu berubah selepas menyedari dia tidak mampu untuk mengubah dunia.
Smith berkata, pada awalnya, Mohammed Farik merupakan seorang pemuda idealis dari keluarga miskin, bersedia berkorban demi mempertahankan kepercayaannya yang dianggap ancaman pada masa itu.
Menurut beliau, Mohammed Farik berkomunikasi dengannya melalui surat dalam bahasa Inggeris selama kira-kira sembilan bulan sebelum memutuskan untuk mengaku bersalah.
Mohammed Farik memaklumkan, semasa zaman mudanya, dia berhasrat untuk melakukan sesuatu yang bermakna untuk agama dan keluarganya.
“Mohammed Farik menunjukkan sikap baik, tenang dan patuh sepanjang tempoh penahanannya. Walaupun ketika berdepan tekanan atau ketegangan, dia tidak menjadi agresif atau menunjukkan bantahan.
“Pada masa itu, dia tertanya-tanya sama ada perbuatannya telah merugikan dirinya kerana dia merasakan dia tidak didengari kerana ‘jarang bertindak’.
“Dia rasa lebih bahagia dan lebih yakin pada agamanya. Dia merancang untuk melalui sisa hidupnya sebagai seorang Muslim yang baik dan aman,” katanya. – UTUSAN