KUALA LUMPUR: “Sebenarnya, wanita itu salah seorang kru penganjur.”
Demikian kata pelakon, Fattah Amin yang meleraikan salah faham mengenai tindakan seorang wanita yang memegang lengannya ketika berada di sebuah acara sehingga tular di media sosial, baru-baru itu.
Menurut Fattah, wanita yang dipercayai salah seorang petugas bagi pihak penganjur itu hanya menjalankan tugasnya untuk memudahkan perjalanan majlis tersebut.
“Ketika itu kami mahu teruskan dengan sidang media. Saya pula masih bergambar di atas pentas. Jadi, niat dia hanya mahu tarik saya keluar dari sesi bergambar itu.
“Cuma, ketika itu ramai orang yang masih merakam momen tersebut dan tercetus salah faham itu,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telemovie Larian Terakhir, di sini, malam tadi.
Yakin wanita tersebut tiada niat yang lain, Fattah bagaimanapun menyifatkan situasi tersebut di luar kawalannya.
“Kadang-kadang perkara itu di luar kawalan. Saya pun terkejut juga ketika itu. Keadaan ketika itu juga bukan seperti saya rela dipegang, tangan saya pun memang berada di dalam poket.
“Saya memang mahu turun ke arah media yang menunggu. Mungkin wanita itu juga niat dia bukan mahu pegang saya. Dia hanya mahu melancarkan perjalanan majlis. Itu sahajalah yang boleh saya katakan,” jelasnya.
Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang wanita bertindak memegang lengan Fattah selepas pelakon itu selesai bergambar secara berkumpulan di sebuah acara.
Rata-rata netizen mengecam tindakan wanita tersebut kerana tidak menghormati dan membuat Fattah tidak selesa.