KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri G. Vadiveloo yang meninggal dunia pada 19 Oktober lalu.
Ucapan takziah turut dirakamkan kepada keluar bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin atas pemergian tokoh itu pada 12 November lalu.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah menyampaikan ucapan itu ketika pembukaan persidangan hari ini dengan meminta semua Ahli Dewan bertafakur selama dua minit sebagai tanda hormat mengenang sumbangan dan jasa pemergian kedua-dua tokoh tersebut
Menurut beliau, Vadiveloo pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara dari 13 April 1992 sehingga 12 Jun 1995, manakala Tun Daim pula pernah berkhidmat dari 1980 hingga 1982.
Katanya, kedua-dua tokoh tersebut merupakan individu yang berprinsip, pemimpin berwibawa dan sahabat yang dihormati.
“Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar kepada negara, dan jasa mereka akan terus dikenang. Dewan Negara juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mereka yang hadir sebagai tanda penghormatan,” katanya, hari ini. – UTUSAN