KUALA LUMPUR: Sebanyak RM522.35 juta Insentif Pengeluaran Getah (IPG) disalurkan kepada 235,414 pekebun kecil sejak ia dilaksanakan pada 2015 hingga Oktober lalu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, IPG dilaksanakan bagi melindungi kebajikan pekebun kecil terutamanya semasa harga getah menurun dan memastikan pendapatan mereka pada paras yang ditetapkan melalui insentif ini.
“Bermula 1 Januari lalu, paras harga pengaktifan (PHP) dinaikkan kepada RM3 sekilogram dengan siling peruntukan berjumlah RM400 juta,” katanya di Dewan Negara hari ini .
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad berkenaan usaha kementerian dalam memastikan kelestarian ladang penanaman getah susulan perkembangan industri getah yang tidak serancak ladang penanaman sawit.
Dalam pada itu, Johari berkata, usaha usaha kelestarian ladang penanaman getah juga dirancakkan melalui Program Konsolidasi Kawasan Getah Terbiar.
Jelasnya, program tersebut akan memanfaatkan 420,000 hektar kawasan tidak produktif di seluruh negara.
“Program sedang dirangka ini dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama agensi seperti Lembaga Getah Malaysia (LGM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FELCRA Bhd dan koperasi, melibatkan pendekatan kluster berskala ekonomi untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan.
“Inisiatif ini turut memberi peluang kepada generasi muda menyertai sektor getah melalui penyediaan pekerjaan tetap dan pendapatan lebih menarik,” katanya. – UTUSAN