Derita Seorang Filosuf diharamkan bukan kerana lirik - Utusan Malaysia

Derita Seorang Filosuf diharamkan bukan kerana lirik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUMPULAN Medicine menapak dalam dunia muzik tempatan ketika zaman kegemilangan Rock kapak meniti kemuncak sekitar era 80-an.

Tahun 1988 menyaksikan kumpulan yang dianggotai Norhizam Shahir (vokal), Rohaizad Ramli (gitar utama), Allahyarham Mohd. suhaimi Ibrahim (gitar kedua), Raihan Ramli (gitar bas) dan Johari Harun (dram) ini melangkah dengan album sulung berjudul Titian.

Album tersebut berjaya melonjakkan Medicine, sekaligus meletakkan mereka sebaris kumpulan-kumpulan Rock sedia ada pada ketika itu.

Titian memuatkan 10 lagu istimewa, antaranya Derita Seorang Filosouf yang mana lirik-liriknya sarat nasihat dan pedoman.

Namun, amat menghairankan apabila lagu itu yang liriknya dihasilkan penyampai radio, Ainol Jamal Zainal satu ketika dahulu pernah diharamkan daripada berkumandang di corong radio Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Dalam menemuramah Norhizam atau Ijam baru-baru ini, saya sempat bertanyakan mengenai kisah disebalik pengharaman lagu itu yang berdasarkan catatan dalam kebanyakan laporan, berpunca daripada liriknya.

Pada Ijam, pengharaman itu bukanlah kerana liriknya, namun bersangkut paut dengan cara dia menyanyikan lagu tersebut.

“Rasanya sebab vokal saya, yang mungkin tidak menepati kriteria ditetapkan RTM pada ketika itu.

“Saya tidak merasakan ia diharamkan kerana lirik, sebab yang penulisnya pun adalah saudara Ainol, penyampai radio stesen RTM sendiri. Tentunya dia lebih faham garis panduan penulisan ketika itu.

“Saya sedar suara saya tidaklah seperti Mus May atau Datuk Amy (Search) yang mana menepati penyampaian vokal untuk lagu-lagu Rock. 

“Tambah pula, lagu Derita Seorang Filosouf perlukan vokal yang bertenaga. Tapi kalau nak dikatakan sebab lirik, tak mungkin,” kata Ijam.

Penyanyi yang dilahirkan di Rantau Negeri Sembilan ini bagaimanapun tidak menolak hakikat bahawa lagu berkenaan mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.

“Lagu ini memang sedikit pelik, liriknya terlalu istimewa, apatah lagi ditulis seorang yang faham ilmu Tasawuf,” kongsinya.

Kumpulan Rock, sedari dulu cukup sinonim dengan imej rambut. Kalau tidak berambut panjang, tidaklah Rocklah penyanyi atau kumpulan itu.

Namun, ahli kumpulan Medicine pada awal kemunculan mereka tidaklah terlalu terikut dengan trend berambut panjang seperti kebanyakan kumpulan Rock yang lain.

Pernah juga mereka tampil berambut pendek dengan gaya fesyen yang sederhana tanpa terlalu mencuba untuk kelihatan seperti Rockers tegar.

Kata Ijam, sisi kelainan itu sebenarnya satu kelebihan yang secara tidak langsung membantu mempopularkan kumpulan Medicine.

“Bukanlah kami tak suka tampil dengan imej rambut yang panjang mengurai, tapi kami selesa dengan potongan rambut yang tidak terlalu panjang ketika itu.

“Jadi kontroversi rambut panjang yang membelenggu kebanyakan kumpulan Rock masa itu tidak memalit Medicine, malah mendatangkan kesan yang lebih positif kepada kami,” kongsinya.

PERSEMBAHAN KOMPANG UNTUK M.NASIR

Bercerita mengenai latar berlakang, Ijam memaklumkan dia mewarisi bakat seni daripada kedua orang tuanya yang aktif dalam aliran kesenian Islam seperti marhaban, zanji dan taranum.

Katanya, meskipun ketika kecil tidak pernah bercita-cita menjadi penyanyi, dia lebih awal didedahkan dengan seni suara menerusi penglibatan bersama dalam aliran seni tersebut.

“Ibu bapa saya amat mengutamakan ilmu agama. Malah saya pernah hampir di masukkan ke sekolah pondok kerana kurang cemerlang dalam bidang akademik.

“Ketika membesar di Singapura, saya aktif menyertai kesenian Islam dan pernah menjuarai pertandingan marhaban dan zanji yang diadakan di Singapura. Saya masih ingat salah satu pertandingan yang saya sertai diadili oleh Datuk M. Nasir. 

“Malah, atas pelawaan keluarga M. Nasir, saya pernah bermain kompang dan membuat persembahan marhaban ketika majlis perkahwinan beliau di Singapura.

“Ketika itu beliau sudah pun mencipta nama menerusi kumpulan Kembara,” cerita Ijam.

Kata Ijam, tahun 1985 menjadi titik permulaan kepada pembabitannya dalam muzik Rock selepas dia dan keluarga berpindah ke Negeri Sembilan pada tahun yang sama.

“Keluarga kami berpindah dari Singapura ke Kampung Solok, Rantau Negeri Sembilan pada tahun 1985. Ketika itu saya masih membantu ibu bapa mengajar Al Quran.

“Pendedahan kepada lagu Rock bermula selepas saya terdengar lagu Kejora yang didendangkan kumpulan Search yang berkumandang menerusi radio milik jiran kami. Selepas cuba menyanyikan lagu itu, muncul niat untuk menjadi penyanyi Rock namun tidaklah serius waktu itu.

“Namun saya mula mengenali muzik Rock menerusi kawan-kawan yang juga ahli kumpulan Medicine ketika bekerja di sebuah kilang berdekatan kediaman saya di kampung itu,” ujarnya.

MENYANYI UNTUK DAKWAH

“Saya tidak pernah tinggalkan dunia nyanyian. Cuma kaedahnya kini sudah berubah.”

Demikian jawapan Ijam apabila ditanya mengenai pembabitannya dalam bidang tersebut.

Ijam memaklumkan dia kini cenderung kepada aktiviti dakwah dan menggunakan bakat nyanyian untuk menarik masyarakat terutamanya anak muda untuk mendekati agama.

“Sekarang saya aktif berdakwah. Namun, saya masih diminta menyanyi kalau dijemput untuk menyampaikan ceramah. 

“Contoh baru-baru ini, saya ke Sabah untuk menyampaikan ceramah. Namun hadirin tetap minta saya menyanyi. Saya melihat nyanyian ini sebagai kaedah untuk menarik anak muda datang ke masjid dan dengar perkongsian ilmu agama.

“Penyampaian itu saya sesuaikan, lirik lagu saya tukar kepada yang berunsurkan ketuhanan, yang mengajak kepada mengingati Allah, melakukan taubat atau selawat,” katanya.

Ijam juga memaklumkan tidak timbul masalah untuk dia dan ahli Medicine yang lain kembali bergabung dan aktif bermain muzik.

“Semua ini bergantung kepada kesediaan ahli-ahli lain untuk bergabung untuk menyampaikan dakwah menerusi lagu dan persembahan. 

“Saya tak ada masalah kalau semua sepakat ke arah itu. Saya pun sekarang menyanyi untuk menyampaikan dakwah,” jelasnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya