Derita 15 tahun penduduk Sungai Kelaik tercemar

Derita 15 tahun penduduk Sungai Kelaik tercemar

sungai
HULU Sungai Kelaik masih keruh walaupun aktiviti perlombongan dihentikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk siasatan lanjut. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Kelaik dan Kampung Cabil, Pos Blau di sini, masih bimbang untuk menggunakan air Sungai Kelaik sebagai sumber kegunaan harian mereka.

Menurut penduduk, hulu Sungai Kelaik masih keruh walaupun sudah hampir seminggu aktiviti perlombongan dihentikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk siasatan lanjut.

Seorang penduduk Kampung Cabil, Along Uda, 40, mendakwa, masih mengalami gatal dan kemerahan kulit selepas menggunakan air sungai itu.

Katanya, terbaharu, empat Orang Asli iaitu tiga kanak-kanak dan seorang penduduk dewasa di Kampung Kelaik terpaksa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan selepas dipercayai menggunakan air Sungai Kelaik.

“Apabila kilang lombong itu melepaskan sisa buangan, warna merah melekat di kaki sebaik sahaja kita masuk ke dalam sungai. Apabila waktu malam pula kami berasa kepanasan di anggota badan yang terkena air itu.

“Kejadian ini berlarutan selama kira-kira 15 tahun sejak kilang lombong bijih besi dibuka berhampiran kampung,” katanya semalam.

Seorang lagi penduduk, Masdor Uda, 29, pula lega apabila JAS menghentikan operasi dua kilang melombong bijih besi sementara waktu untuk siasatan lanjut hampir seminggu lalu.

Katanya, pencemaran sungai berlaku apabila pengurisan lombong melepaskan air takungan mereka ke dalam Sungai Kelaik.

“Sejak 10 tahun lalu juga sumber ikan termasuk spesies kelah pupus di Sungai Kelaik. Kami terpaksa makan ubi kayu dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri.

“Kami lega dan berharap operasi kilang itu dapat ditutup selamanya. Namun, kami tetap bimbang sekiranya kilang itu beroperasi semula,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang meninjau Sungai Kelaik berharap lebih ramai penduduk Orang Asli yang menggunakan sungai itu dibuat ujian saringan kesihatan.

“Saya berharap pihak yang terlibat seperti JAS, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Kesihatan (KKM) dapat melakukan tinjauan dan ujian yang lebih terperinci terutama membawa keluar penduduk yang menggunakan sungai ini sebagai sumber harian.

“Saya juga mengharapkan agar tindakan tegas diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran kelestarian alam sekitar dengan sengaja oleh pihak yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial keadaan Sungai Kelaik yang bertukar menjadi merah seolah-olah berkarat yang didakwa penduduk disebabkan oleh aktiviti perlombongan bijih besi.

Sehubungan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengarahkan aktiviti perlombongan oleh dua syarikat di sungai tersebut dihentikan kerana dikhuatiri menyebabkan pencemaran sungai terbabit.

Nik Nazmi berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan siasatan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pematuhan kedua-dua syarikat terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN