KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi dikejarkan ke hospital kerana tiba-tiba pengsan di kediamannya, semalam.
Adira ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia telah mengalami demam yang berpanjangan sejak tiga hari lalu dan mempunyai tekanan darah rendah.
“Saya tiba-tiba pengsan semalam di rumah. Pada awalnya, saya demam biasa sahaja. Hari ini sudah masuk hari ketiga saya demam dan doktor ada cakap saya mengalami tekanan darah rendah.
“Sekarang, saya masih berada di hospital dan dalam pemantauan doktor,” katanya.
Baru sahaja selain membuat konsert Sumandak Stars pada Sabtu lalu, Adira mengakui kesibukan kerja menjadi faktor dirinya kurang berehat sehingga kesihatannya terjejas.
“Alhamdulillah, keadaan saya beransur pulih. Mungkin hari Sabtu petang atau Ahad pagi saya sudah boleh keluar hospital. Setakat ini, saya hanya menunggu demam kebah.
“Sebenarnya, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku pun seumur hidup saya. Saya juga tidak ada tekanan darah rendah. Doktor kata berkemungkinan saya penat sangat dan perlu rehat yang cukup.
“Bila jadi macam ini baru saya sedar banyak kerja macam mana sekali pun kita perlu berehat secukupnya. Mujur sewaktu kejadian itu abang saya berada di rumah. Dia juga yang hubungi ambulans untuk bawa saya ke hospital,” jelasnya.
Adira turut berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran di Instagram dan memohon maaf kerana terpaksa menangguhkan kerjanya buat seketika demi mendapatkan rehat yang cukup.
“Tujuan saya muat naik perkongsian itu di media sosial adalah untuk menghormati beberapa pihak dan memaklumkan kepada mereka yang saya tidak sihat.
“Setakat ini, ada beberapa tawaran kerja yang saya perlu tangguhkan dan batalkan. Cuma, pada hari Ahad ini sahaja saya tidak boleh batalkan,” ujarnya.