“MEMANG letak harapan untuk filem Abang Adik, peluang seperti cerah dan positif.”
Demikian luahan pengarah filem Abang Adik, Jin Ong, ketika menghitung hari menunggu keputusan senarai pendek untuk kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) yang bakal diumumkan 17 Disember nanti.
Selepas dinobatkan sebagai pemenang Filem Terbaik, Festival Filem Asia Antarabangsa ke-10 di Los Angeles, Amerika Syarikat, Ong merasakan ada peluang cerah untuk Abang Adik membawa pulang trofi Oscar pertama buat Malaysia.
“Selepas kemenangan di Los Angeles tempoh hari sebagai Filem Terbaik, kita telah berjumpa ahli akademi (Oscar), media dan pengkritik filem antarabangsa. Kita harapkan mereka akan memberi perhatian tentang projek ini.
“Saya maklum Abang Adik sudah menerima ulasan daripada pengkritik media antarabangsa. Bagi kami, semuanya adalah peluang di mana ada yang tengok filem ini, kritik dan kongsikan untuk dibaca kepada umum,” katanya ketika ditemui di sidang media Festival Filem Malaysia ke-33 di Auditorium Angkasapuri, baru-baru ini.
Sejak Abang Adik yang menceritakan isu kewarganegaraan siap dihasilkan dua tahun lalu, pengarah asal Taiping, Perak ini tidak menjangkakan naskhah pertama arahannya ini akan menggondol anugerah utama Golden Horse Awards dan sembilan anugerah di festival filem seluruh dunia termasuk anugerah berprestij Festival Filem Far East Udine.
“Saya anggap ini adalah hadiah daripada Tuhan. Awalnya, saya fikir, kalau boleh terbit pun sudah cukup bagus. Saya tidak pernah menjangkakan akan menerima ‘bonus’ seperti ini.
“Bulan hadapan, Abang Adik akan ditayangkan di Jepun pula dan saya akan terbang ke sana untuk promosi,” tambahnya.
KOLABORASI DUA NEGARA
Pemenang Pengarah Harapan, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33 itu juga enggan terus bergantung tuah kepada Abang Adik dan kini dalam pembikinan menerbitkan sebuah naskhah yang mengangkat budaya Malaysia tahun hadapan.
Seperti naskhah sebelum ini, Ong akan memberi fokus mengenai kasih sayang antara kaum. Bukan itu sahaja, dia juga akan bekerjasama dengan tenaga kerja dan kepakaran daripada Taiwan untuk projek filem bertajuk Sayang yang penggambarannya dijalankan di negeri Pantai Timur, Malaysia.
“Kita mahu hasilkan lebih banyak cerita mengenai Malaysia serta mengangkat isu sosial terutama tentang pekerja asing. Bagaimanapun, kasih sayang antara manusia tetap menjadi kunci utama dalam setiap filem yang saya hasilkan.
“Tahun hadapan saya akan menjadi penerbit sebuah projek bertajuk Sayang di mana penggambaran dilakukan di Terengganu dan Kelantan. Pengarahnya pula daripada Taiwan.
“Saya mahu lakukan kolaborasi produksi antarabangsa kerana misi saya, kita mahu saling mempelajari ilmu baru yang boleh diserap oleh produksi tempatan,” katanya yang turut mengidolakan Allahyarham Yasmin Ahmad dan Nik Amir Mustapha sebagai inspirasi dalam karya.
Terdahulu, Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) FINAS telah memilih Abang Adik untuk mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa, Anugerah Akademi Ke-97 pada Mac tahun depan.
Filem tersebut bakal bersaing dengan calon pemenang lain antaranya The Day (Korea Selatan), Laapataa Ladies (India), How to Make Millions Before Grandma Dies (Thailand), Meeting with Pol Pot (Kemboja), La Luna (Singapura) dan ramai lagi.
Dalam FFM33, sutradara itu menepati ramalan merangkul trofi Lakon Layar Terbaik manakala aktor, Jack Tan dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Selain dua anugerah tersebut, Abang Adik turut merangkul kemenangan menerusi kategori Tatarias Terbaik dan Rekaan Kostum Busana Terbaik.-UTUSAN