DBP Sabah iktiraf sumbangan Lorenica perkembang tulisan jawi

DBP Sabah iktiraf sumbangan Cikgu Lorenica perkembang tulisan jawi di sekolah

LORENICA Frenila Masundim (lima dari kiri) menerima sijil penghargaan sempena Majlis Apresiasi Wibawa Jawi di DBP Sabah, Kota Kinabalu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah buat julung kali memberi penghargaan terhadap guru bukan Islam, Lorenica Masundim yang membantu memperkembangkan tulisan jawi dalam kalangan pelajar sekolah.

Persatuan Munsyi Jawi DBP memberi penghargaan itu kerana usaha Lorenica Frenila Masundim,34, selaku guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, Beluran, Sandakan yang mengajar tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu.

Pengarah DBP Sabah, Jennitah Noordin berkata, jika dilihat tulisan jawi cukup sinonim dengan masyarakat beragama Islam. Namun, sebagai guru bukan beragama Islam, Lorenica menyahut cabaran untuk mengajar tulisan jawi kepada anak-anak muridnya.

Justeru, Persatuan Munsyi Jawi mengadakan majlis apresiasi untuk memberi penghargaan kepada Lorenica dan juga guru besar SK Bawang, Beluran.

“Sebenarnya di Sabah ini kalau dilihat tulisan jawi lebih kepada orang yang beragama Islam sebab mereka belajar jawi di sekolah agama.

“Namun, dalam kalangan pelajar bukan beragama Islam, mempelajari tulisan jawi melalui subjek Bahasa Melayu akan memberi nilai tambah kepada mereka.

“Jadi, usaha sebegini harus diberi sokongan kerana tulisan jawi ini sebenarnya milik semua seperti yang dikatakan oleh Cikgu Lorenica,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Sementara itu, Lorenica berkata, sebagai perancangan masa depan, beliau bersama Persatuan Munsyi Jawi DBP akan berbincang tentang langkah-langkah yang boleh diambil bagi memperkembangkan tulisan jawi.

Katanya, beliau merancang untuk menyediakan modul pengajaran asas tulisan jawi kepada mereka yang bukan Islam namun, berminat untuk belajar tulisan jawi.

“Kalau modul itu siap nanti, ia akan sesuai dengan individu yang tidak belajar jawi daripada kecil. Modul pengajaran asas jawi itu antara kajian yang saya akan buat apabila saya melanjutkan pengajian pada tahun depan,” katanya.

Lorenica merancang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tahun depan.

Bagi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif yang juga Exco Pendidikan Negeri berkata, beliau sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh DBP dalam memperjuangkan tulisan jawi. Katanya, dari semasa ke semasa DBP akan melakukan lantikan munsyi-munsyi bahasa termasuklah jawi untuk memperkembangkan lagi bahasa dan kesusasteraan dalam kalangan masyarakat di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN