PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berkaitan papan tanda premis perniagaan.
Langkah ini mendapat sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menghargai peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan kepatuhan terhadap peraturan tersebut.
Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Anwar Ridhwan berkata, aspek bahasa dalam garis panduan yang ditetapkan adalah sangat penting.
Katanya, ia termasuk keperluan menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul dan tersusun pada papan tanda perniagaan.
“Bahasa Malaysia hendaklah digunakan dalam jenama keutamaan sama ada secara tunggal atau bersama bahasa lain, dengan pengecualian bagi jenama khas seperti TOSHIBA dan SAMSUNG.
“Bagi penggunaan bahasa lain, garis panduan menetapkan tulisan tersebut tidak boleh melebihi tiga per daripada ketinggian tulisan Bahasa Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, akhbar melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan papan tanda pelbagai bahasa tidak menjadi kesalahan malah membantu mempromosikan industri pelancongan negara.
Mengulas lanjut, Mohd. Anear berkata, DBP turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir ahli politik yang mensensasikan isu ini, sedangkan akta tersebut secara jelas bertujuan memelihara kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.
Katanya, beliau menyeru semua pihak, termasuk pemimpin politik untuk menjunjung kedaulatan undang-undang demi memperkukuh identiti bahasa dan budaya negara.
“Setiap penggunaan bahasa juga perlu memenuhi syarat ketepatan dari segi perkataan, susunan ayat, ejaan, dan tatabahasa, serta mendapat pengesahan DBP sebelum dipaparkan,” katanya. – UTUSAN