JERANTUT: Paras air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di Ulu Tembeling, di sini kini di tahap bahaya dan melimpah ke kawasan dataran perniagaan di Kampung Bantal, dekat sini.
Kenaikan paras air serta pertembungan aliran kedua batang sungai tersebut menyebabkan dataran perniagaan di situ tenggelam pada pukul 2.22 pagi ini dan sebelum itu siren amaran bahaya Jabatan Pengairan Saliran (JPS) berbunyi pada pukul 1.50 pagi.
Bacaan di tempat penyukat banjir JPS, pada pukul 7.30 pagi hari ini menyaksikan air Sungai Tembeling meningkat pada aras 106.80 meter dan melepasi paras bahaya.
Difahamkan, air juga sudah melimpah ke kawasan jeti Kuala Membatu berdekatan kawasan parkir kenderaan di Kampung Seberang Bantal sejak pukul 2 pagi ini.
Penduduk Kampung Seberang Bantal, Jamizan Rashid, 45, berkata, air Sungai Tembeling meningkat sejak petang semalam dan kelihatan arus sungai semakin deras dan menghanyutkan dahan pokok mati dan kayu reput.
“Kejadian banjir di dataran ini merupakan kali ketiga dilimpahi air. Sebelum ini keadaan sama berlaku pada 26 dan 28 November lalu dan air surut dalam tempoh 24 jam. – UTUSAN