Data MyKad 17 juta rakyat tidak bocor

Data MyKad 17 juta rakyat tidak bocor

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyerahkan sijil kelahiran kepada salah seorang mangsa banjir yang membuat penggantian dokumen itu di PPS SK Bukit Tinggi, Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan terdapat kebocoran melibatkan data kad pengenalan atau MyKad seramai 17 juta rakyat Malaysia yang kononnya dijual di laman web gelap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah menyemak perkara itu dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA).

“Dakwaan itu timbul daripada seorang pengguna media sosial. Dia pamerkan beberapa keping MyKad dan reka cerita 17 juta dikatakan bocor.

“Saya segera semak dengan JPN dan NACSA yang bertanggungjawab tentang keselamatan bahagian teknologi maklumat agensi kerajaan, kedua-duanya mengesahkan tiada insiden itu,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi di sini, hari ini. 

Terdahulu, pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @ StealthMole mendakwa, sampel MyKad Malaysia telah dikongsi secara terbuka di laman web gelap.

Dia mendakwa, sampel kad pengenalan Malaysia telah dikongsi secara terbuka di web berkenaan yang dibimbangi berlaku pelanggaran data besar-besaran dan boleh membawa kepada jenayah serius seperti kecurian identiti serta penipuan kewangan.

Tambah Saifuddin, kerajaan memberi jaminan bahawa intergriti data, terutama melibatkan maklumat rakyat negara ini yang merupakan fungsi utama JPN sentiasa dijaga. 

“Saya meminta rakyat agar berhati-hati dengan penyebaran maklumat tidak sahih seperti ini, jadi lebih baik hentikan perkara tidak bertanggungjawab seperti itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk menubuhkan suruhanjaya bebas kepada agensi penguatkuasaan lain bagi memudahkan aduan orang ramai disalurkan.

“Setakat ini, Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang diluluskan pada 2022 khusus untuk polis walaupun Perdana Menteri sebut ketika menjadi Ketua Pembangkang beliau berharap suruhanjaya itu bukan untuk polis sahaja, bahkan semua agensi penguatkuasa lain kerana tak mahu polis terasa mereka sahaja jadi sasaran.

“Tetapi bercakap mengenai tatakelola dan integriti harus meliputi semua agensi, namun keputusan ketika itu adalah dahulukan dengan IPCC. Jadi pentadbiran sekarang kita putuskan akta yang diluluskan itu dan mula berkuatkuasa 1 Julai tahun lalu untuk polis dan ke depan nanti jika ada ruang kita tambah baik dengan agensi lain, kerajaan sentiasa terbuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya