BANGI: Pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 akan menjadi pemangkin kepada usaha menyelesaikan pelbagai cabaran sosioekonomi di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, dasar itu memberi fokus kepada pendekatan ‘Local Issue, Local Technology & Local Benefit’ untuk memperkasa komuniti melalui inovasi sosial tempatan.
Katanya, untuk tempoh pelaksanaan enam tahun itu, DIS disasarkan mampu melaksanakan 30 projek dengan pulangan potensi sebanyak RM108 juta dan 1,200 peluang pekerjaan baharu.
Sebagai contoh, katanya, sebuah projek MyIS Komuniti yang dibiayai Kementerian sebanyak RM300,000 dijangka menjana pulangan RM3.6 juta dalam masa tiga tahun dan membuka 40 peluang pekerjaan.
“Inovasi sosial adalah asas penting dalam membentuk penyelesaian kepada isu-isu seperti kemiskinan, kesenjangan pendidikan, dan cabaran kesihatan.
“Melalui dasar ini, kita mahu mencipta perubahan besar yang berimpak tinggi kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2024, di sini malam ini.
Mohammad Yusof berkata, DIS yang bakal dilaksanakan tahun depan itu diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus Environment (ESG) yang ditetapkan oleh badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
“Kerajaan melalui kementerian ini akan menjadi peneraju dan pemantau pelaksanaan DIS, manakala Yayasan Inovasi Malaysia akan bertindak sebagai rakan pelaksana utama.
“Kita yakin inisiatif ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.
Mohammad Yusof turut menggalakkan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum untuk menyokong pelaksanaan DIS.
KIS 2024, adalah platform penting untuk mencetuskan idea baharu dan menyokong pembangunan inovasi sosial di Malaysia yang bukan sahaja menjadi tempat pertemuan inovator sosial, malah turut mengiktiraf sumbangan mereka dalam mencorakkan landskap inovasi negara.
Konvensyen selama tiga hari itu yang bermula 15 Disember menyaksikan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk inovasi, pertandingan 48 Hours Innovate Challenge, dan seminar bersama enam pembicara antarabangsa dari India, Thailand, dan Filipina.
Lebih 3,000 pengunjung dari pelbagai institusi hadir memeriahkan konvensyen yang bertemakan Gateway to the Future: Innovation Unleashed. – UTUSAN