ISU sosioekonomi yang semakin kompleks menjadi cabaran utama bukan sahaja di Malaysia, malah turut dihadapi di peringkat global.
Masalah seperti kemiskinan, ketidaksamaan pendidikan, kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan kewangan serta masalah sosial setempat menuntut pendekatan kreatif dan kolobratif untuk diselesaikan.
Dalam hal ini, inovasi sosial dilihat menjadi elemen penting dan semakin berkembang dalam menyelesaikan cabaran isu itu melalui pembangunan teknologi luar bandar hingga inisiatif kewangan mikro yang berpotensi sebagai alat transformasi dalam memanfaatkan ekonomi dan memperkukuhkan hubungan sosial.
Inovasi sosial memberikan impak sosial yang signifikan dengan mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan, dan memperbaiki akses kepada pendidikan, kesihatan, serta pemeliharaan alam sekitar.
Inovasi sosial menggunakan pendekatan inklusif yang menggalakkan penyertaan pemaju teknologi dan bakat tempatan sebagai pemangkin dalam pembangunan penyelesaian inovatif, khususnya di peringkat akar umbi.
Di Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah pun menggerakkan inisiatif inovasi sosial sejak tahun 2015 melalui pelbagai agensi di bawahnya, termasuk Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
Dengan memanfaatkan inovasi sosial, negara boleh menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta memajukan komitmen terhadap piawaian persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), seiring dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Ekosistem inovasi sosial yang dibangunkan di Malaysia terdiri daripada tiga elemen penting iaitu penyedia teknologi, replikasi teknologi dan keusahawanan, serta impak sosial.
Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, elemen pertama melalui penyedia teknologi adalah melibatkan fasa pembangunan inovasi dan teknologi, bermula dari penyelidikan dan pembangunan (R&D) demi melahirkan bakat tempatan yang mempunyai asas kukuh dalam sains, teknologi, dan inovasi.
Elemen kedua pula, replikasi teknologi dan keusahawanan merujuk kepada usaha mereplikasi teknologi melalui organisasi keusahawanan, termasuk perusahaan sosial, perintis teknologi, syarikat pemula dan organisasi bukan untung.
“Elemen ketiga iaitu impak sosial merujuk kepada impak yang terhasil daripada penyelesaian berasaskan teknologi dan inovasi kepada masalah sosioekonomi melalui kolaborasi antara sektor awam, swasta, dan masyarakat.
“Ia sekali gus memperkukuh hubungan sosial dan mengurangkan jurang ketidaksamaan,” katanya ketika berucap pada Majlis peluncuran Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 yang disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Isnin lalu.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Ruziah Shafei dan Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh.
Peluncuran DIS 2025-2030 adalah bersempena penganjuran Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2024 bertemakan ‘Gateway to the Future: Innovation Unleashed’ yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung, 220 inovator sosial tempatan, 68 pempamer produk inovasi serta enam pembicara antarabangsa dari India, Thailand dan Filipina.
Penganjuran KIS 2024 ini sebagai mengiktiraf sumbangan inovator kepada pembangunan negara, di samping memartabatkan profesion inovator sebagai kerjaya professional sekali gus menyokong hala tuju kerajaan ke arah pembangunan negara berasaskan teknologi dengan piawaian, acuan dan identiti Malaysia dengan rangka kerja bersepadu.
Berucap pada majlis itu, Chang Lih Kang berkata, DIS 2025-2030 merupakan Dasar Sektoral yang menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030. DIS menjadi asas strategik untuk menangani cabaran sosioekonomi melalui pemerkasaan inovasi sosial sebagai agen perubahan dalam memacu peningkatan ekonomi negara berteraskan sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).
“MOSTI akan berperanan sebagai peneraju, penyelaras, pemudah cara dan pemantau pelaksanaan DIS manakala YIM bertindak sebagai rakan pelaksana inisiatif inovasi sosial.
“DIS memastikan bahawa pembangunan negara adalah inklusif, membolehkan impak positif dirasai oleh semua lapisan masyarakat melalui aplikasi sains, teknologi, dan inovasi yang berasaskan Local Issue, Local Technology, Local Benefit,” katanya.
Pada majlis peluncuran itu, turut diadakan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara YIM dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Albukhary International University (AIU).
Selain itu, Penyampaian Surat Hasrat Kerjasama YIM kepada Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), termasuk penyampaian Watikah Penglibatan Bersama YIM kepada Koperasi Belia Inovatif Sarawak.
Penyampaian replika cek Geran Pembangunan juga diberikan kepada penerima Geran MyIS Akar Umbi (MaGRIs) untuk tahun 2023 dan 2024 serta Geran MyIS Komuniti 2024 dan Geran Rintis Pengkomersialan Inovasi Sosial 2024. – UTUSAN