BENTONG: Dakwaan seorang penghantar barang mengatakan tiga buah balai polis enggan menerima laporan berhubung satu kes perselisihan faham dan kecederaan di Janda Baik dekat sini, adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis mengesan imej tangkap layar yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp, semalam mengatakan polis tidak melayan aduan membabitkan Pondok Polis Janda Baik, Balai Polis Bukit Tinggi dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
“Menerusi aplikasi tersebut, lelaki berkenaan iaitu seorang penghantar barang mendakwa ditikam di bahagian mata oleh pelanggan akibat perselisihan faham serta berlaku kecederaan dan mahu membuat laporan polis, tetapi menyebut polis di ketiga-tiga balai tersebut enggan menerima laporan.
“Saya ingin menjelaskan kandungan WhatsApp yang tular itu adalah tidak benar kerana polis telah menerima laporan mangsa terbabit dan sedang menyiasat kes tersebut,” katanya di IPD Bentong hari ini.
Menurut Zaiham, kejadian tersebut berlaku pada 24 Disember lalu pukul 3.30 petang di tempat letak kereta di sebuah pusat peranginan Janda Baik.
“Hasil semakan mendapati polis menerima laporan daripada mangsa pada 24 Disember lalu pada pukul 4.30 petang dan mangsa telah dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan,” katanya.
Zaiham berkata, berikutan itu, satu laporan dibuat oleh seorang Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah IPD di sini, semalam dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN