GEORGE TOWN : Perbuatan dua pekerja sebuah syarikat telekomunikasi serta enam pekerja syarikat subkontraktor penyelenggaraan mencuri kabel mengundang padah apabila mereka ditahan polis di Tanjung Bungah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kesemua suspek yang berusia antara 31 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Terdahulu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu dan terserempak dengan sekumpulan individu sedang memotong kabel di tepi jalan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, ada suspek yang telah mengemukakan borang pesanan kerja yang kononnya telah dikeluarkan oleh pihak syarikat telekomunikasi tersebut.
“Namun, siasatan lanjut dan pengesahan bersama wakil TM (Telekom Malaysia) mendapati, tiada kebenaran kerja pemotongan kabel diberikan di kawasan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rozak, berikutan itu, lapan lelaki ditahan dan pihak polis turut merampas barang kes termasuk 242 batang kabel seberat tiga tan yang telah dipotong, dua buah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah van dan pelbagai peralatan mencuri kabel.
Jelas Abdul Rozak, semakan mendapati, empat daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ketum, manakala selebihnya tidak memiliki sebarang rekod lampau khususnya berkaitan jenayah.
“Anggaran kerugian yang dialami pihak syarikat setakat ini dianggarkan sebanyak RM100,000. Ketika ini, polis masih menyiasat siapa pembeli kabel yang mengandungi bahan tembaga ini dan ini adalah tangkapan terbesar melibatkan kes kecurian kabel di daerah ini,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
“Kesemua suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut dan polis percaya perbuatan suspek ini bukan kali pertama dilakukan,”katanya.-UTUSAN