KUALA LUMPUR: Pelakon, Betty Rahmad meluahkan rasa kesal selepas menerima pelbagai respons negatif berhubung majlis ilmu anjurannya yang hanya dihadiri rakan selebriti, baru-baru ini.
Enggan berdiam diri, Betty atau nama lengkapnya Norsha Rahmad Ali, 43, dilihat teguh mempertahankan jihad rakan-rakannya yang mahu berubah menjadi lebih baik di sisi agama.
“Saya terima banyak sangat komen negatif untuk majlis ilmu yang saya anjurkan, baru-baru ini. Pertama sekali, anda semua perlu ingat saya, Nora Danish dan kawan-kawan saya yang lain pernah berada di tempat mereka sebelum ini.
“Saya pun jahil macam mereka, banyak perkara yang saya tidak tahu sebelum ini. Cuba anda semua fikir dari sudut yang lebih baik dan positif.
“Kelas itu diadakan pada waktu pagi. Bagusnya, mereka tetap datang dan libatkan diri di majlis ilmu itu. Cuba tengok benda yang baik berbanding berfikiran tidak elok,” katanya dalam sebuah perkongsian di TikTok.
Dalam masa sama, Betty sempat berpesan kepada netizen untuk berhati-hati dengan setiap kecaman yang dilemparkan kerana boleh mengheret orang lain melakukan kesalahan yang sama.
“Hati-hati dengan komen anda. Dalam tidak sedar anda telah membuka ruang kepada orang lain mengutuk lagi di ruangan komen yang anda tinggalkan. Cermin diri dan tengok diri kita adakah kita sempurna? Tak ada sesiapa yang sempurna.
“Kami semua mahu belajar. Kalau tiada benda baik mahu bercakap, lebih baik jangan cakap. Sudah cukup sempurnakah diri kita ini nak mengata orang lain,” jelasnya.
Kata Betty lagi, dia kagum dengan usaha rakan-rakan selebriti yang hadir ke majlis ilmu tersebut dan berharap inisiatif itu mampu membuka hati mereka berhijrah dengan mudah.
“Saya tidak suka anda semua hakimi kawan-kawan saya. Saya hargai inisiatif mereka mahu mendalami ilmu agama. Betul, saya hanya jemput rakan artis sahaja sebab mereka target saya.
“Mereka semua mahu belajar tapi tidak tahu mahu pergi mana, takut tidak diterima dan dikecam. Jadi, saya buka ruang kepada mereka untuk belajar dan jadi diri sendiri secara perlahan-lahan. Anda semua tahu menghakimi saja.
“Saya ada belajar, hati kita ini ibarat rumah. Hati ini paling penting sebab kalau hati kita rosak, mata, mulut telinga kita juga akan rosak. Rosak macam mana? Semua perkara akan dianggap buruk sahaja. Jadi, renung-renungkanlah,” ujarnya.
Baru-baru ini, Betty telah menganjurkan sebuah majlis ilmu di kediamannya yang mengulas topik berkaitan wanita dalam Al-Quran.
Majlis sederhana yang disampaikan oleh Ustazah Isfadiah itu turut dihadiri oleh barisan selebriti seperti Nora Danish, Syatilla Melvin, Aprena Manrose, Uqasha Senrose, Nelydia Senrose, Nadiyah Shahab dan ramai lagi. -UTUSAN