Cukup mustahil untuk saya tidak menangis – Nora Ariffin - Utusan Malaysia

Cukup mustahil untuk saya tidak menangis – Nora Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah kedengaran, cakap-cakap belakang yang bertebaran secara rambang tentang bagaimana ‘terbaliknya’ kehidupan seorang Datuk Nora Ariffin ketika dia menyambut tangan Dr Rushdi Ramli yang sudi menjadikannya isteri setelah lima tahun bergelar balu kepada Allahyarham Johan Nawawi.

Memang amat mustahil untuk Nora melepaskan diri daripada kata-kata tajam daripada pelbagai pihak apatah lagi, suami yang dinikahinya itu juga merupakan suami orang yang telah mempunyai keluarga sendiri.

Sejauh mana hal itu tidak mahu dibicarakan lanjut oleh Nora sekali pun, situasi tidak membenarkan penyanyi popular era 90-an ini untuk bebas terbang ke langit sementelah kedua-dua kakinya tetap perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa hidupnya berkongsi kasih dengan si dia yang juga milik wanita lain.

Jika dahulu hidupnya lebih tenang tanpa kontroversi, di usia 50-an, begini pula fasa yang harus dilalui Nora meski pahit untuk ditelan.

“Saya sebenarnya sudah lama reda dengan semua yang berlaku. Saya bersedia menerima dan berdamai dengan takdir. Kadang kala dalam hidup kita ada benda yang kita boleh pilih, ada yang kita mahu tapi tak dapat. Sebab aturan hidup itu bukan kita yang buat.

“Memang kita boleh merancang, tetapi yang menentukan itu bukan kita. Bila kita sebut reda pula, kita tak boleh persoalkan lagi. Kalau ini adalah ujian untuk saya, yang terbaik untuk saya maka saya terima,”katanya.

Nora berkata demikian usai berlangsungnya Konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey) di PJ Pac, kelmarin.

Ditanya bagaimana dirinya mengumpul kekuatan untuk terus kebal dengan cakap-cakap orang, kongsi penyanyi kelahiran Kelantan ini, dia tidak mempunyai pilihan lain selain perlu berbuat demikian.

“Bila kita menerima ketentuan Allah, kita tak boleh banyak songeh, hidup tak macam itu. Suka atau tidak, kena terima. Saya ini bukanlah hendak cakap pasal agama, kadang-kadang benda yang kita tak suka itulah yang terbaik buat kita.

“Saya ini sudah berusia 51 tahun, sudah lalui pelbagai fasa. Bermula daripada arwah Johan tak ada, saya belajar tentang hidup ini. Saya pun kena fikirkan anak dan akhirnya, ini soal kita dengan Allah.

“Kalau ditanya tentang perasaan saya sekarang, saya akan cakap bersyukur. Suka, duka saya tetap bersyukur,”ujarnya.

Nora juga tidak menolak bahawa sukar untuk mencari kebahagiaan di dunia ini kerana pada akhirnya, hal yang satu itu hanya akan terwujud di akhirat kelak.

“Macam kita semua tahu, dunia ini tempat ujian. Sebagai manusia kita semua tentulah mahu bahagia, itu rezeki masing-masing. Bila kita tengok orang lain bahagia, kita doa untuk dia.

“Tetapi tipu kalau saya katakan diri tidak pernah menangis. Saya selalu menangis. Ketika memandu kereta pun boleh menangis bila teringat macam-macam perkara dan hal lama.

“Tetapi tangisan saya itu tidak lama. Dari sudut psikologi pun kalau kita menangis itu kira macam kita melepaskan beban di hati.

“Tidak salah pun untuk menangis. Dulu, saya hairan atau marah jika tengok anak-anak sikit-sikit hendak menangis, anggap manja sangat. Tetapi bila kita belajar dengan doktor, sebenarnya tak mengapa jika kita mahu ‘melepaskan’ perasaan itu,”katanya.

Dalam pada itu, Nora juga tidak menolak bahawa sebelum konsert berlangsung, dirinya secara tiba-tiba dihimpit dengan pelbagai cerita kurang enak membabitkan keluarga dan urusan rumah tangganya.

Bagaimanapun, kata Nora, sudah tentu sebagai manusia biasa sukar untuknya menepis emosi yang datang mengganggu konsentrasinya terhadap kelangsungan konsert.

“Sedikit sebanyak ya tentulah terganggu. Tetapi saya bersyukur kerana dikelilingi oleh orang-orang yang baik yang meminta saya tidak perlu peduli dengan perkara tak bermanfaat.

“Asalkan saya tahu tak buat salah, lantaklah orang nak cakap apa sahaja. Kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Jika ada yang bermulut jahat atau menulis kata-kata tajam di media sosial, kita tak boleh nak hentikan pun.

“Mungkin mereka tiada kerja. Tak apalah tak perlu ambil kisah sangat janji saya tak kacau orang, tak ambil duit orang atau buat jenayah sampai kena tangkap dan sebagainya,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya