KUALA TERENGGANU: Penduduk di sekitar lima kilometer dari Sungai Tebak di Kemaman, dekat sini diminta berwaspada dengan kemungkinan berlakunya banjir petang ini hingga 31 Disember ini.
Selain itu, penduduk yang tinggal di sekitar Kampung Air Putih, Kampung Teladas, Kampung Dadong, Kampung Tebak, Kampung Batu 16 Tebak dan sekitar Jambatan Air Putih turut diminta berhati-hati dengan risiko banjir sepanjang tempoh tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, amaran itu dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada pukul 1 petang ini.
“Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS telah mengeluarkan amaran banjir di kawasan ini. Namun, banjir boleh berlaku lebih awal dan lebih lewat dari masa yang dijangkakan.
“Paling penting, penduduk terus siap sedia dengan menyelamatkan harta benda dan dokumen penting di tempat tinggi serta berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, data stesen cerapan Kemaman juga menunjukkan bacaan aras air laut setinggi 3.2 meter hingga 3.5 meter bermula 1 hingga 6 Januari ini.
“Bacaan yang dicatat stesen cerapan Kuala Terengganu pula menunjukkan bacaan 2.5 meter hingga 2.7 meter antara pukul 10.30 malam hingga 1 pagi sepanjang tempoh tersebut,” katanya. – UTUSAN