KUALA LUMPUR: “Terima kasih untuk 11 tahun yang indah.”
Itu titipan pelakon, pengacara dan usahawan, Rozita Che Wan atau Che Ta, 51, sempena ulang tahun perkahwinannya dengan Zain Saidin.
Che Ta, yang berkongsi ucapan itu di Instagram, sambil berkongsi beberapa keping gambar mengenakan busana perkahwinan dengan suaminya.
“Kamu adalah hati, jiwa dan pasangan dalam segala hal.
“11 tahun lalu, kita bina sesuatu yang istimewa bersama-sama.
“Saya tidak sabar untuk melangkah ke fasa seterusnya,” tulisnya.
Che Ta dan Zain mendirikan rumah tangga sejak 2013 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Aisyah Dhia Rana.
Sebelum itu, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu pernah bergelar isteri kepada Azuar Effendy Zulkaply pada 1995 namun bercerai pada 2013.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.
Semalam, nama selebriti ini hangat diperkatakan apabila rumahnya berlokasi di Kota Damansara diserbu Majlis Amanah Rakyat (Mara) ekoran kegagalan melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Serbuan itu dilakukan untuk membolehkan pihak Mara menilai barangan dan rumah tersebut untuk tujuan penyitaan.
Che Ta dan suaminya bagaimanapun kekal mengunci mulut berhubung isu tersebut.