KUALA LUMPUR: Tindakan pelaksanaan penghakiman terhadap Rozita Che Wan ditangguhkan selepas pengacara dan pelakon itu berjaya melunaskan sebahagian baki tunggakan pinjaman Mara yang dibuat jumaat lalu.
Perkara itu disahkan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi platform X petang tadi.
“Tindakan pelaksanaan penghakiman terhadap Rozita Che Wan ditangguhkan setelah Mara berjaya mendapat bayaran tertunggak RM550,000 sehingga Jumaat lalu,” tulisnya.
MARA sebelum ini bertindak menyita pelbagai barangan bernilai RM100,000 milik pengacara tersebut susulan kegagalannya melunaskan pinjaman bernilai RM1 juta.
Tindakan itu dilaksanakan selepas pihak Mara menyerbu kediaman pelakon itu di Kota Damansara awal bulan ini.
Asyraf dalam perkongsian yang sama turut mengingatkan selebriti itu agar melunaskan baki pinjaman tertunggak sebelum Mac tahun depan.
“Manakala baki hutang tertunggak hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh 3 bulan sebelum penghujung Mac,” kongsinya lagi.-UTUSAN