KUALA LUMPUR: Pelakon, Jay Iswazir menafikan perceraian dengan bekas isteri, Azzahra Ahmad berpunca daripada pembabitan orang ketiga.
Kata pemilik nama sebenar Ahmad Iswazir Ismail ini, perpisahan mereka sebenarnya atas kesepakatan bersama gara-gara tiada lagi kesefahaman antara kedua pihak.
“Tiada gangguan orang ketiga. Anggap sahaja tiada jodoh, sudah tiada kesefahaman antara kami.
“Perceraian ini adalah untuk kebahagiaan masing-masing.
“Alhamdulillah kami masih lagi berhubung, tidak bermasam muka,” kongsinya kepada Utusan Malaysia selepas persembahan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari, Sabtu lalu.
Bekas pasangan suami isteri itu mendirikan rumah tangga pada Mac 2022.
Azzahra bagaimanapun pada awal November lepas mengumumkan perceraian mereka di media sosial.
Jay dalam pada itu mengakui bukan mudah kedua-dua pihak membuat keputusan untuk berpisah meskipun mereka telah mencapai kata sepakat.
“Ia keputusan yang berat untuk diambil, bukan senang. Perceraian ini dimuktamadkan selepas perhubungan kami temui jalan buntu. Akhirnya kami berbincang untuk mencari kesepakatan.
“Tapi saya bersyukur kerana Allah lancarkan prosesnya. Harus dinyatakan bahawa keputusan ini adalah yang terbaik untuk kedua pihak,” katanya.
Disoal mengenai ruang untuk mereka rujuk semula, Jay memaklumkan dia tidak dapat meramalkan sebarang kemungkinan dan hanya berharap yang terbaik untuk kedua pihak.
“Jodoh ini perkara yang kita tak boleh ramalkan. Apa yang boleh saya katakan, kami sekarang dalam fasa bertenang. Bekas isteri juga masih dalam tempoh Iddah.
“Saya tak berani komen soal rujuk. Perkara ini sensitif, jadi saya tak mahu meramalkan apa-apa.
“Apa yang saya harapkan adalah doa mereka yang mengikuti kisah hidup kami. Doakanlah yang baik-baik untuk kami,” jelasnya.