GEORGE TOWN : Harga kelapa di beberapa pasar awam di negeri ini mencatatkan kenaikan mendadak sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna ketika ini.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abd. Kader berkata, berdasarkan tinjauan pasaran yang dijalankan oleh persatuan itu, harga kelapa kini meningkat daripada RM2 kepada RM2.50 sebiji, manakala harga bagi kelapa bersaiz besar pula ada yang mencecah RM3.30 sebiji.
“Kenaikan harga ini turut memberi kesan kepada produk kelapa lain, seperti santan yang kini dijual pada harga antara RM14 hingga RM15 sekilogram berbanding RM12 sebelum ini. Kelapa parut juga naik daripada RM8 kepada RM11 sekilogram,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohideen, beberapa peniaga tempatan mendakwa, masalah itu bermula apabila bekalan kelapa dari negara lain terhenti.
“Situasi ini menyebabkan ramai peniaga di pasar awam di Pulau Pinang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan sejak dua minggu lalu.
“Justeru, kami bimbang jika masalah ini berterusan, pengguna akan menghadapi isu kekurangan kelapa dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, Mohideen berkata, pihaknya menyeru Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk segera menyiasat kenaikan harga ini.
“Siasatan perlu dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kenaikan harga ini berasas atau disebabkan berlakunya manipulasi pasaran oleh pihak tertentu,” katanya.
Tambah beliau, CAP juga menyarankan agar langkah proaktif diambil untuk memastikan bekalan kelapa mencukupi dan harga kekal stabil demi melindungi kepentingan pengguna.-UTUSAN