PASIR MAS: Gelombang ketiga banjir yang melanda negeri ini tidak melemahkan semangat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menduduki Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris semalam dan ujian bertulis Khamis ini.
Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti, Nur Alia Balqis Anizam, 17, berkata, walaupun sedikit tertekan kerana berdepan banjir sekali lagi, dia tetap bersemangat menduduki peperiksaan itu kerana tahu kepentingan untuk masa depan.
“Rasa tertekan kerana banjir baru sahaja pulih dan kelmarin negeri ini dilanda banjir gelombang ketiga pula. Setakat ini air banjir belum sampai ke rumah saya di Kampung Meranti dan sekolah saya terjejas teruk ketika banjir gelombang pertama baru-baru ini,” katanya ditemui semalam.
Nur Alia Balqis antara 150 calon SPM di SMK Meranti menerima bantuan khas persekolahan yang disampaikan oleh Pengerusi Rural Capital Berhad, Noor Hariri Mohamed Noor.
Menurut Nur Alia Balqis, dia menjadikan pengalaman menduduki peperiksaan dalam situasi banjir awal bulan ini sekiranya banjir di Meranti, Pasir Mas semakin memburuk.
“Saya dan rakan-rakan yang lain sudah ada pengalaman menduduki peperiksaan Ujian Lisan dalam banjir. Kali ini sekiranya banjir, saya tidak panik kerana kami ditempatkan di asrama,” katanya.
Seorang lagi calon SPM, Suraya Abdul Wahab, 17, berkata, dia risau jika sekolahnya dinaiki air ketika peperiksaan bertulis SPM pada Khamis ini dan tentunya mengganggu emosi.
“Mudah-mudahan banjir kali ini tidak seburuk banjir gelombang pertama dan kami dapat menduduki peperiksaan dengan tenang,” katanya.
Sementara itu, Noor Hariri berkata, seramai 600 calon SPM daripada lima buah sekolah di Parlimen Pasir Mas yang terjejas banjir menerima bantuan khas persekolahan daripada Yayasan Pelajaran Mara tajaan CelcomDigi dengan peruntukan sebanyak RM45,000.- UTUSAN