KUALA LUMPUR: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkandas akibat banjir dibenarkan hadir untuk menduduki ujian lisan Bahasa Melayu sama ada esok atau Khamis.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, kelonggaran itu diberi kepada semua calon yang terjejas banjir dan tidak dapat hadir mengikut jadual ditetapkan.
“Bagi yang tak dapat hadir peperiksaan ujian lisan Bahasa Melayu yang bermula sejak semalam, boleh datang sama ada hari ini, esok atau pada Khamis.
“Kelonggaran itu kita buat supaya dapat pastikan semua dapat hadir peperiksaan.
“Tak timbul isu bahawa ada sebarang masalah dalam pelaksanaan peperiksaan (SPM) ketika ini,” katanya selepas menghadiri Pameran Wacana Pencapaian Semasa Inisiatif Baucar Buku: Epitome Aspirasi Kerajaan Madani di Parlimen, di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, ujian lisan BM bagi SPM diadakan sejak semalam dan berakhir Khamis ini.
Ujian yang berlangsung selama empat hari itu memerlukan pelajar hadir sehari mengikut jadual ditetapkan.-UTUSAN