CAAM pastikan operasi di Lapangan Terbang Subang patuhi piawaian keselamatan antarabangsa

CAAM pastikan operasi di Lapangan Terbang Subang patuhi piawaian keselamatan antarabangsa

KETUA Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud ketika sesi perkongsian mengenai tinjauan industri penerbangan pada tahun 2025 sewaktu majlis makan tengahari bersama media di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menyemak semula sebarang laporan berhubung keselamatan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, bagi memastikan ia mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CAAM, Datuk Norazman Mahmud berkata, semua operasi penerbangan, termasuk di LTSAAS perlu mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Kami berpegang teguh kepada piawaian ICAO, termasuk pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) penerbangan dan kawalan trafik udara,” katanya kepada pemberita selepas sesi perkongsian “A Look Into The Aviation Industry in 2025” di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang perubahan operasi di Subang akan memberi kesan kepada lapangan terbang lain, misalnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ipoh dan Melaka.

“Oleh itu, prosedur penerbangan untuk lapangan terbang ini perlu diselaraskan semula bagi mengelakkan konflik trafik udara. 

“Kami sentiasa memastikan setiap prosedur yang dirangka bukan sahaja melindungi keselamatan pesawat dan penumpang, tetapi juga keselamatan penduduk di kawasan sekitar lapangan terbang. 

“Ini termasuk pematuhan kepada zon keselamatan dan had kebisingan,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebanyak enam syarikat penerbangan dijangka memulakan operasi pesawat jet di Lapangan Terbang Subang bermula 1 Ogos.

Difahamkan, fasa Interim Jet Operations (IJO) ini akan meningkatkan kapasiti lapangan terbang daripada 1.5 juta kepada 3 juta penumpang setahun, dengan keupayaan menampung operasi pesawat jet seperti Boeing 737 dan Airbus A320.

Dalam pada itu, Norazman berkata, CAAM sedang dalam proses untuk memperkenalkan teknologi menara kawalan jauh di beberapa lapangan terbang di Malaysia sebagai langkah memperkukuhkan keselamatan dan melancarkan operasi penerbangan.

“Teknologi ini membolehkan kawalan trafik udara dilakukan dari jauh dengan bantuan kamera berdefinisi tinggi dan penanda pintar di landasan pesawat. Malah, pembinaan menara kawalan jauh juga lebih menjimatkan berbanding menara kawalan konvensional.

“Dengan teknologi ini, kita tidak lagi perlu menempatkan pengawal trafik udara di lapangan terbang. Sebaliknya, kawalan boleh dilakukan dari pusat kawalan di KLIA,” katanya.

Jelasnya, teknologi menara kawalan jauh telah lama diaplikasikan di negara-negara maju dan terbukti selamat serta berkesan dalam pengurusan trafik udara.

Norazman berkata, pusat kawalan utama untuk Semenanjung Malaysia akan ditempatkan di KLIA, manakala Sabah dan Sarawak masing-masing akan mempunyai pusat kawalan di Kota Kinabalu dan Kuching.

“Kami menjangkakan tempoh persediaan selama setahun sebelum ia mula beroperasi sepenuhnya,” katanya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya