JOHOR BAHRU: Taktik sindiket dadah menggunakan peket plastik seperti wang kertas untuk mengaburi pihak berkuasa, terbongkar dengan tertangkap dua lelaki berusia 33 dan 40 tahun dalam tiga serbuan berasingan sekitar daerah ini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya turut merampas serbuk ekstasi, pil eramin 5 dan ketamin bernilai RM210,721.60.
Beliau berkata, modus operandi digunakan sindiket adalah dengan menjadikan rumah sewa dan kenderaan sebagai tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedar ke dalam pasaran di sekitar Johor Bahru.
“Sindiket yang telah beroperasi sejak dua bulan lalu itu dikesan membungkus semula dadah dalam bungkusan berbentuk wang kertas yang jika dilihat di dalam kelab malam, tidak jangka itu adalah bungkusan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, di sini hari ini.
Selain dadah, pihaknya turut merampas sebuah Perodua Myvi, segugus kunci dan wang tunai RM120 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM235,841.60.
“Ujian urin mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin serta mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan dadah.
“Polis masih memburu saki-baki sindiket ini yang dipercayai masih bebas,” katanya menambah, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN