Buku adalah terapi buat saya - Shiha Zikir - Utusan Malaysia

Buku adalah terapi buat saya – Shiha Zikir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN hobi membaca sering dianggap klise bagi sesetengah pihak, amalan itu mampu memberikan pelbagai manfaat kepada setiap individu yang mengamalkannya.

Seperti pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd Zikir, buku kini adalah pendamping setianya walau di mana sahaja dia berada.

“Saya suka membaca sekarang. Memang kalau pergi ke mana-mana pun saya akan bawa buku bersama. Hobi ini saya sudah amalkan lebih enam tahun. 

“Sebelum ini saya suka boxing tetapi disebabkan kepadatan waktu kerja, saya sudah tidak aktif lagi,” katanya kepada Pancaindera.

Kata Shiha, membaca buku mampu memberikan impak positif dalam kehidupannya dari segi cara pengendalian emosi dengan lebih baik selain menganggap amalan itu sebagai salah satu terapi.

“Pada saya, amalan membaca ini memberikan impak yang sangat positif dalam hidup saya. Sebelum ini, saya seorang yang cepat marah dan panas baran. 

“Kemudian, saya cari pendekatan untuk mengawal kawal emosi itu dengan membeli dan membaca buku. Selain itu, saya juga amalkan baca Al-Quran seperti yang disarankan para ustaz. 

“Dari situ saya boleh ubah sikap saya daripada seorang pemarah kepada tenang. Tapi, bila saya terlalu tenang saya anxiety pula sebab banyak memendam. Jadi, saya terus cari buku untuk kawal perasaan itu pula,” jelasnya.

Sedar hobinya itu memiliki pelbagai manfaatnya, penyanyi yang berusia 37 tahun itu mengakui membaca buku juga membantu dirinya menimba pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang secara berterusan.

Bukan itu sahaja, buku juga menjadi antara sumber rujukan utamanya untuk meningkatkan motivasi diri dan belajar cara pengurusan syarikat dengan baik memandangkan dia mempunyai perniagaan sendiri.

“Saya mula minat itu sebab nak kawal segala perasaan itu. Saya suka membaca buka yang berkaitan penjagaan kesihatan diri baik untuk perniagaan dan peribadi. 

“Sekarang pun saya sudah ada syarikat dan perniagaan sendiri, jadi kebanyakannya saya akan cari buku untuk dapatkan motivasi dan sumber rujukan. Istimewanya hobi ini buat saya mahu seru semua orang supaya membaca buku sebab ilmu itu perlu ditimba secara berterusan. Tidak boleh berhenti belajar walau apa bidang sekali pun. 

“Tidak kisah tentang apa pun sejarah, motivasi dan sebagainya. Semua itu tiada penghujung. Sedikit sebanyak apa yang kita baca itu membentuk peribadi seseorang,” jelasnya.

Lebih menarik lagi, penyanyi lagu Irama itu mengakui hobi tersebut secara tidak langsung membuka peluang untuk dia kenali penulis kegemarannya dengan lebih rapat seperti Robin Sharma dan Mizi Wahid.

“Saya suka tengok di media sosial orang yang suka membaca buku untuk dapatkan perkembangan terkini buku baharu. Saya juga suka berhubung dengan penulis buku dari dalam dan luar negara. 

“Antara penulis kegemaran saya adalah Robin Sharma. Dia sudah hantarkan buku yang mempunyai tanda tangannya kepada saya dalam dua atau tiga kali. Saya gembira sangat,” kongsinya.

Dalam pada itu, Shiha berpendapat amalan membaca merupakan salah satu pelaburan yang berbaloi meskipun memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Saya percaya orang yang suka membaca dan aktif membeli memang besar modalnya. Tambahan kalau kita beli buku dari luar negara, satu buku mencecah ratusan ringgit. 

“Antara buku yang paling mahal saya beli buku yang berharga hampir RM300 tajuk dia, Can’t Hurt Me. Selebihnya bawah seratus ringgit. Dalam sebulan memang saya kerap membeli dan perbelanjaan dia memang sangat besar. 

“Tapi saya sangat puas dan saya rasa ini pelaburan yang sangat positif kerana memberi input kepada diri kita. Saya mahu syorkan agar semua orang juga gemar membaca kerana sangat berbaloi,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya