PETALING JAYA: Pas perlu menjawab persoalan berhubung nilai moral pemimpin parti itu yang seringkali menggunakan fitnah sebagai senjata politik.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, Pas bukan sahaja menggunakan fitnah, tetapi nampaknya menjadikan perkara itu sebagai satu lumrah dan kelaziman.
Katanya, isu saman fitnah membabitkan seorang wakil rakyat Pas baru-baru ini bukan satu perkara baharu, sebaliknya banyak terjadi membabitkan dalam kalangan pemimpin parti itu.
“Bagi saya, ia bukan soal kutipan derma untuk bayar denda saman fitnah semata-mata. Tetapi lebih penting adalah, Pas perlu menjawab persoalan dimanakah nilai moral parti itu?
“Sebagai parti yang memakai jenama Islam, dimanakah nilai moral Pas apabila pemimpin mereka seringkali menggunakan fitnah sebagai senjata politik? Lebih dari itu, saya lihat Pas bukan sahaja menggunakan fitnah, tetapi nampaknya melazimi fitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menjelaskan parti itu mengambil tanggungjawab atas keterlanjuran ahlinya yang membuat apa-apa tindakan yang salah, sehingga dihukum dengan bayaran atau denda.
Kata Ahli Parlimen Marang itu, perkara itu yang tidak terdapat dalam perjuangan yang lain selain daripada perjuangan Islam.
Menurut Sheikh Umar, pemimpin Pas sebelum ini banyak berhadapan saman fitnah sehingga terpaksa memohon maaf kepada individu yang menjadi mangsa fitnah sekali gus menunjukkannya ia satu perkara normal dalam parti itu.
“Ini bukan kali pertama. Pada 2016 misalnya, seorang Yang Dipertua Pas kawasan telah memfitnah berlaku larangan azan di masjid dekat Pulau Pinang sekiranya DAP memerintah. Akhirnya beliau mohon maaf kepada DAP dan kerajaan negeri.
“Pada 2017, Pesuruhjaya Pas Perak kalah saman selepas memfitnah bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Ini berikutan kenyataan fitnah beliau di akhbar. Akhirnya beliau diperintah membayar RM200,000 kepada Nizar,” katanya.
Beliau justeru itu meminta Pas dan pemimpin untuk bermuhasabah diri dan merenung kembali panduan wahyu.
“Saya nasihatkan Pas merenung hadis nabi iaitu ‘Tidak sepatutnya seorang yang beriman, disengat sebanyak dua kali daripada lubang yang sama. Selain itu, perhalusi semula surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud ‘Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh,” katanya. – UTUSAN