LUMUT: Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan pemantauan terhadap kehadiran seekor buaya yang dikesan di perairan antara pantai peranginan Teluk Batik dan Teluk Rubiah, dekat sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Manjung, Kapten Pertahanan Awam Norazlan Turiman berkata, maklumat kelibat reptilia itu mula diterima pada pukul 1.09 tengah hari menerusi media sosial khususnya WhatsApp APM Manjung.
“Berikutan itu, Ketua ‘Baywatch’ (pasukan penyelamat pantai di Teluk Batik) memohon kebenaran untuk membuat rondaan serta pemantauan haiwan tersebut,” ujarnya di sini hari ini.
Menurutnya, tidak lama kemudian, APM Manjung menerima video daripada seorang kakitangan syarikat Vale Mineral (Malaysia) Sdn. Bhd. (Vale) yang melihat kehadiran buaya itu berhampiran jeti syarikat tersebut di Teluk Rubiah.
Jelasnya lagi, empat anggota Baywatch Teluk Batik bergerak ke lokasi menggunakan sebuah bot pasukan itu ke lokasi tersebut.
Beliau memaklumkan, anggota tersebut berjaya mengesan kehadiran reptilia itu di perairan sekitar jeti Vale pada pukul 2.54 petang.
Katanya, anggota tersebut selesai membuat pemantauan pada pukul 4.40 petang dan kembali ke Menara Baywatch Teluk Batik, serta memaklumkan kepada beliau untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN