KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan pendiriannya untuk kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana blok ekonomi atau politik, termasuk BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia hanya langkah strategik untuk meningkatkan ekonomi tetapi masih mengamalkan konsep berkecuali dengan negara-negara lain.
“Kami menghormati peranan BRICS sebagai platform kerjasama ekonomi yang penting di peringkat global, namun Malaysia memilih untuk terus menjalankan dasar luar yang neutral dan inklusif, tanpa terikat kepada blok tertentu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, berkenaan pendirian Malaysia selaku rakan kongsi dalam BRICS.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia tidak harus terikat dengan satu blok sahaja sedangkan ada blok baharu yang meningkat naik, tidak lagi bergantung kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS).
“Akhirnya kita lihat penyertaan dalam brics ini tidak menjadi satu permasalahan kerana negara menyertai BRICS ini juga menyertai dan mempunyai hubungan dagang yang baik dengan Eropah, AS dan negara lain.
“Ini bagi saya, hanya perkembangan dari masa ke masa dan keadaan sekarang nampaknya menuntut kita secara tegas, menjalin jaringan supaya kepentingan perdagangan kita terjaga.
“Pada saya penting sekali adalah perdagangan, ekonomi negara kita. Kenapa kita harus terikat dengan satu blok?
“Sekarang bila ada satu blok baharu yang beri saingan, kita terus menjalin hubungan dengan kedua-dua, atau kalau boleh ketiga, keempat.
“Sebab itu bila Indonesia dan Thailand menyatakan minat, malah bersama memohon untuk Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), kita pun ambil sikap sama. Global South, Europe dan AS (tumpuan Malaysia),” katanya. – UTUSAN